Search

Sayang, Tapi Tak Guna

0 comments


Aku menekan brek mengejut. "Bodoh," marahku kepada kereta yang memintas secara merbahaya di hadapan keretaku tadi. Tertanya aku juga terkejut dengan sasulku sendiri. Bodoh? Apa itu bodoh. Tidak, aku tidak maksudkan 'bodoh' seperti ejekan kanak-kanak itu tapi yang aku maksudkan adalah perlakuan dia itu bodoh. Ah, sama saja maksudnya.

"Astaghfirullah, kenapa saya kata bodoh tadi," kataku sambil mengusap-ngusap mulut.

"Itulah yang aku pelik juga. Setahu aku, aku tak pernah dengar kau kata macam tu," kata co-driver.

Benar juga. Aku tidak suka dan tidak pernah suka menyebut perkataan itu walaupun semasa kecil dulu. Namun, hari ini pagi-pagi lagi aku sudah memecahkan rekod. Sepanjang masa aku buntu memikirkannya.

mendengar perkara baik/buruk, efek pada hati dan akhlak

Rupa-rupanya beberapa hari itu, aku asyik mendengar bodoh, bodoh, bodoh serta kata-kata kesat yang lain. Walaupun aku tak perasan pun kehadiran suara-suara itu atau tidak ambil perhatian, ia telah lekat di hati dan otak. Wahh hebat rupanya kuasa minda manusia ini.

Kuasa minda manusia memang tak dijangka. Sebagai contoh, anda duduk dalam suatu tempat bersama seseorang yang sedang menyanyi lagu A. Tidak lama kemudian, apabila anda sedang rasa ingin berehat-rehat, terpacul lagu A itu daripada mulut anda juga tanpa anda sedari. Fuh, seperti fenomena menguap.

Macam mana nak berubah?


Soalan itu sangat biasa didengari daripada orang-orang yang ada keinginan untuk jadi lebih baik, yang baru mengenal erti taqwa. Yang ingin jadi berhati-hati dalam menjaga hubungan dengan Tuhan dan orang-orang yang ingin dikurniakan jiwa yang basah sentiasa dengan unsur-unsur ketuhanan.

Sudah cuba untuk jadi baik, tapi tak boleh juga. Sekejap sahaja kesannya. Jadi macam mana ni?

Aku juga pernah mengalami krisis perasaan yang sama, yang akhirnya meninggalkan rasa berputus asa untuk menjadi muslimah yang baik seperti yang lain kerana aku fikir aku telah banyak berdosa sehingga aku begitu hina dan tidak layak untuk kembali kepada Tuhan. Berubah itu sesuatu yang luar biasa mustahilnya! Fikirku. Lalu, semangat untuk berubah itu terpadam dan dibawa pergi arus semasa.

Hakikatnya, sama ada aku belum jalankan bersungguh-sungguh atau aku belum jalankan dengan cara yang betul.

kena tinggalkan perkara yang tidak berguna walaupun nampak kecil

Perkataan 'jahiliyyah' itu popular dalam buku sejarah, apabila kita menggambarkan masyarakat arab dahulu sebelum kedatangan Islam. Jahiliyyah itu bunuh anak, zina, arak, judi, sembah berhala. Itu sahajakah? Jadi bagaimana jahiliyyah itu boleh dikaitkan dengan orang-orang seperti kami yang ingin berubah sedangkan kami tidak bunuh anak, berzina, minum arak, berjudi apatah lagi menyembah berhala?

Aku pernah berasa seperti munafik sekali, apabila di ceramah atau kelas agama aku menitis air mata keinsafan lalu ingin bertaubat tetapi apabila pulang aku kembali jadi seperti biasa seolah-olah tidak menangis sebelumnya. Apa yang menghalang hati aku daripada terus basah mengingati Tuhan? Apakah yang menghalang aku daripada menjadi seseorang yang sentiasa berjiwa bertaubat??

Rupa-rupanya, aku yang belum tinggalkan perkara-perkara yang tidak berguna buat aku. Perkara-perkara yang tidak berguna itu adalah termasuk ke dalam jahiliyyah  dan mampu menghalang kita untuk memulakan langkah pertama untuk berubah - sama ada kita sedar atau tidak.


Perkara-perkara biasa mampu jadi jahiliyyah. Beli-belah, komputer, menonton, muzik, sosial, sukan, berekreasi, hatta belajar sekalipun.  Apabila semua perkara yang bermula dengan keperluan atau keharusan ini mula termasuk ke dalam ketagihan dan menjadi fokus, hatta nasyid juga boleh jadi melalaikan, hatta drama cinta islamik juga boleh jatuh ke dalam kategori yang menghalang kita berubah jika ia sampai telah membawa perhatian kita semakin jauh daripada Tuhan.

Seperti kes aku sebut 'bodoh' tadi, adalah kerana 'bodoh' itu telah terperap lama dalam lubuk hati. Maka aku juga jadi tidak sabar untuk menyebutnya. Semudah itu sesuatu perkara boleh menjadi sebati di dalam jiwa. Sesenang itu ia dihadam dalam jiwa.

Aku sibuk melayan, muzik dan drama cinta islami tapi akhirnya aku sedar aku telah terjatuh ke dalam dunia kejiwangan lalu mula melara dan mendamba sedih pilu dok teringat kisah cinta lama. Bukannya semakin islami malah lupa terus pada Tuhan. Aneh. Lalu, aku kena tinggalkan, sebab itu yang menghalangku. Mungkin orang lain tidak selemah aku baguslah. Namun, tugasku ialah menjauhi semua itu. Lalu, selepas itu aku boleh kekal berjiwa dengan jiwa sepatutnya.

Sebagaimana Allah telah berfirman dalam surah al-mu'minun (ayat 1-3):

"Telah berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu orang-orang yang khusyu' dalam solatnya, dan yang menjauhkan diri daripada (perkataan dan perbuatan) yang tidak berguna." 

Bagaimana juga mahu khusyu' jika hati tidak ada di tempat solatnya, memikirkan perkara-perkara lain? Perkara-perkara itu lalu jatuhlah kategorinya sebagai perkara yang tidak berguna buatnya juga sebagaimana yang dinyatakan pula dalam ayat ketiga.

Jadi, hati-hati dengan apa yang kita lihat, dengar, cakap, dan rasa. Jauhi yang tidak berguna dalam menjana perubahan jiwa. Ia boleh memalingkan hati sekelip mata sahaja. Semudah paculan 'bodoh' dengan hanya terdengarnya di jalanan. Yang penting untuk diambil kira, untuk meninggalkan semua yang tidak berguna itu kita perlukan tekad yang kuat kerana meninggalkan perkara yang memang sebati dengan jiwa memang sukar dan menyedihkan. Tapi apa gunanya sayangkan semua perkara atau habit itu jika ia tidak beri harapan yang baik untuk kita selepas mati?

p/s: Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian..... (sambunglah sendiri)

reflection - rehlah

2 comments

Assalamualaikum wbt,

Ke hadapan akhawat dan pembaca budiman =)
warkah ini adalah perutusan langsung di sini untuk meniup habuk yang menebal dan memberi sedikit tenaga pada laman ini; selepas sebulan Ramadhan itu berlalu - dan juga kepada penulis yang kurang bermaya =)

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang telah memberi kita kesempatan untuk keluar melaksanakan tanggungjawab dakwah dan tarbiyah hari ini. Berikut sukacita saya ingin catatkan beberapa 'reflection' yang telah saya 'extract' daripada perjalanan kita hari ini, semoga kita dapat mencipta penambaikan, insyaAllah.

(1) Kegagalan menjemput seramai mungkin para mad'u : Apa-apa yang saya fikirkan ialah; YaAllah, sungguh Engkau perancang terbaik, memang ada hikmah yang di sebaliknya. Kita merancang dengan perancangan yang mantap, tapi dari segi pelaksanaan masih banyak lompong pada diri kita dari beberapa segi - maratib amal individu, pengurusan masa, layanan dan kekondusifan tempat penginapan =) dan juga pengisian yang kurang mantap =) - hingga saya terfikir, alhamdulillah Allah lindungi kita dari keaiban pada pandangan para mad'u, kecuali mad'u-mad'u terdekat yang memahami situasi kita.
Do you get my point?

Tapi, at the same time, cara marketing perlu ditingkatkan. Mungkin tawarannya kurang menarik dan kelihatan kurang berobjektif, dan paling penting, masih kurang ketsiqohan dan 'hub antara kita =(

(2) Pengurusan masa - Ini adalah antara kelemahan terbesar pada pandangan saya. Bermula daripada waktu tidur pada malamnya, sehingga kepada waktu dalam perjalanan keesokannya. Dalam hal ini, mungkin pemilihan tempat juga adalah antara faktor penyumbang. Kiranya, mungkin tempat tersebut kurang sesuai kerana jaraknya yang jauh dari tempat penginapan, yang menyukarkan kita untuk mula berehlah seawal mungkin. Jadi, jika ada cadangan pemilihan tempat yang lebih baik untuk perancangan akan datang, boleh dipertimbangkan.



Saya rasa saya masih ada beberapa 'point', tapi Allah tidak mengizinkan saya menulisnya untuk masa ini - saya lupa =) Akan diupdate jika diizinkan, insyaAllah.

'Reflection' ini pertama-tamanya adalah ditujukan kepada diri ana sendiri, dan keduanya kepada para akhawat dan pembaca budiman. Sebarang komen amatlah dialukan. Sungguh, pada setiap detik kehidupan dan setiap perjalanan itu adalah pelajaran untuk kita sentiasa meningkatkan diri kepada menjadi individu muslim yang lebih baik.

Minta maaf atas dasar penulisan yang begitu skema; saya rasa seronok menggunakan Bahasa Melayu baku.

Tidak lupa, salam perjuangan untuk peperiksaan akhir yang bakal tiba. Selamat berusaha !



Mari bergerak! Jika aku futur, kupohon pimpinlah tanganku. Jangan tinggalkan aku sendirian di belakang.. Uhibbuki fillah ya ukhti


Yang ikhlas,
(^_^)

warkah ramadhan

0 comments


Allahu Robbi,

Sunggguh aku tak sangka dan aku masih tak percaya; Ramadhan datang lagi. Pada hamba yang penuh noda, saat penyucian sudah tiba. Terasa-rasa, bagai terlihat-lihat pintu keberkatanMu Kau buka. Bagai ternampak rahmat dan kasih sayangMu turun dari langit; bagai dijunjung malaikat yang berarak bernyanyi riang. Ini bulanMu, bulan rahmat dan kasih sayangMu.

Allahu Robbi,
Alhamdulillah, segala puji bagiMu atas kurniaan ini; satu bulan tanda kasihMu kerana kami bukan ummat yang panjang usia seperti ummat terdahulu. Segala puji bagiMu yang memberi kami peluang, dan keringanan untuk menggandakan amal. Manakan, amalan sunat sama ganjarannya dengan amalan wajib, amalan wajib digandakan ganjarannya 70 kali ganda. Kiranya jika aku senyum dan memberi salam pada sahabatku, aku sudah beroleh pahala solat dalam bulan-bulan biasa, MasyaAllah…

Allahu Robbi,

Namun Kau tahu hati kami gentar. Kami lemah Tuhanku, dan Ramadhan ini terlalu senteng dan pantas berlari. Kami takut tak terkejar, bila dunia juga sentiasa mengejar. Kami takut Ramadhan ini masih sama dengan Ramadhan terdahulu. Kami gusar jika Ramadhan ini kami masih gagal pulang ke fitrah, langsung gagal untuk kembali menemuiMu…

Allahu Robbi,

Berilah kami kekuatan, kerana kekuatan hanya padaMu. Kami panjatkan doa; anugerahilah kami dan seluruh insan di sisi kami, dan seluruh insan yang kami cintai, taufiq dan hidayahMu, dengan barakah Ramadhan al-Mubarak ini; bulan yang mana Engkau maqbulkan doa hamba-hambaMu yang berdoa.

Amin.

Taqabbal Allahu minna wa minkum
...


saya racist ?

3 comments

Dilabel sebagai mengamalkan ‘racial bias’ atau ‘being racism’ , mulanya ada sedikit rasa tidak enak. Tetapi selepas difikirkan balik, saya tergelak seorang diri. Lucu rupanya dipanggil ‘racist’. Lucunya ialah pada orang yang tampak begitu intelek dan berfikiran terbuka dan global, tapi rupanya dalam sesetengah aspek masih belum cukup matang dan tidak dapat menerima orang lain seadanya.


Apa itu ikhlas? Apa itu melakukan sesuatu hanya kerana Allah?


Orang sering berkata, mencintai seseorang kerana Allah, atau bersahabat hanya kerana Allah. Tapi, benarkah? Bagaimanakah mencintai kerana Allah? Adakah mencintai Allah terlebih dahulu, kemudian mencari apa-apa yang dicintaiNya, dan mencintai perkara tersebut walau ia bukan yang kita cintai? Ataukah mencintai kerana cinta itu dari Allah, kemudian bercinta berlandaskan jalan Allah?


Bagaimana bersahabat kerana Allah? Adakah dengan memilih orang yang Allah sukai, kemudian merapati dan mengasihinya? Ataukah mengasihi sahabat-sahabat di sekeliling seadanya kerana Allah menyuruh kita saling berkasih sayang dan menjalin ukhuwwah?


Orang berkata, saya ikhlas bersahabat dengan awak; saya tak perlukan sebarang balasan. Tapi, bukankah bila kita menghulurkan salam persahabatan, kita mengharapkannya bersambut? Bila kita menganggap kawan itu sebagai sahabat, fitrahnya kita juga mengharapkan dia menganggap kita sebagai sahabat. Bila kita menghargai dan menghormati, kita juga berharap untuk dihargai dan dihormati.


Umumnya ikhlas pada pegangan manusia ialah, tidak dilandasi oleh harta benda, pangkat, status, rupa, IQ dll. But at the end, we still want to regain from what we spend; in case of relationship, it is companionship.


Relakah, menjadi sahabat tapi tidak dianggap sahabat?


Menemani tapi ditinggalkan?

Menghormati tapi direndahkan?

Memberi tapi dilupakan?

Menyayangi tapi diabaikan?


Sungguh, ikhlas itu lebih daripada menjadi lilin. lilin, membakar diri, tapi akan kehabisan. Sedang sumber untuk melakukan pembakaran, yakni oksigen, tidak pernah terhad. Lilin yang menerangi gelap, tapi cahayanya terlalu menuntut perhatian, dan terlalu bertumpu pada satu titik.


Ikhlaslah, seperti lampu pendarfluor yang selalu tidak disedari.


Innamal a`mal lu binniat. Berhijrah kerana perempuan, maka perempuan yang kamu peroleh. Bersahabat kerana teman, maka companionship yang kamu peroleh.


Sungguh seni ikhlas ini amat berat.


Sedikit dendam bercambah di hati saya. Saya hampir memutuskan untuk mengabaikan dia, sebelum saya teringat bahawa saya tidak bersahabat dengannya kerana dia mahu bersahabat dengan saya (^_^)

Ayah Saya Ramai

2 comments

Saya mengakui bahawa saya hanya memiliki seorang ayah kandung. Dia merupakan seseorang yang istimewa baik dari sudut seorang lelaki atau seorang ayah. Dia suka mencuba pelbagai perkara baru dalam masa yang singkat. Dan saya sebagai seorang pendampingnya sejak lebih 20 tahun lalu juga mewarisi sifat-sifat sebegitu. Mungkin orang lain juga sama. (Sifat boleh diwarisi oleh keturunankah?) Sebenarnya boleh. Kalau orang teliti betul-betul, andai kata saya ni suka ketawa kuat atau cepat emosional atau sopan-santun, kemungkinan besar ia diperturunkan daripada ibu atau bapa atau sesiapa yang membesarkan saya. Kaji ya?

Menjelang hari bapa ini, saya juga tidak mahu ketinggalan daripada melafazkan lafaz yang tersimpan kepada ayah melalui sms. Tapi, dalam banyak-banyak ayah, saya hanya mampu hantar kepada ayah kandung saya. Ayah lain tak ada handphone.

Ayah mertua ke?

Mungkin ya bagi orang lain. Namun, saya belum lagi he he. Ayah yang saya maksudkan adalah orang lain. Saya suka untuk mengajak semua merenung suatu hadith:

"Sesungguhnya diriku bagi kalian bagaikan seorang ayah bagi anaknya." (h.r. al-Darimi)

Selain meraikan ayah kandung, ayah angkat, ayah tiri atau ayah mertua, marilah kita meraikan ayah kita yang lebih agung, Rasulullah s.a.w. Baginda merupakan ayah yang terbaik. Yang telah membantu kita di dunia dan pasti membantu kita di akhirat. Baginda merupakan ayah kita yang paling baik akhlaknya, paling hebat taqwanya. Oh ayahku Rasulullah..

Saya merasa rindu dengan ayah. Saya ingin berdamping bersama ayah-ayah saya.

Saya ada lagi satu ayah yang lebih besar. (Banyaknya ayah kau) He he.

Ingat semasa perang Badar, perang pertama dalam sejarah Islam. Ia tidak dirancang sebagai sebuah perang. Bermula dengan perjalanan 313 orang rijal ke arah kafilah kafir quraisy dengan niat untuk mengambil semula harta rampasan milik mereka. Puak kafir quraisy Mekah pula salah anggap. Namun, dengan bantuan Allah melalui kedatangan seribu malaikat, perang Badar berakhir dengan kemenangan di pihak Islam.

Apa yang unik dalam perang Badar? Umat Islam yang 313 tadi menentang ayah, abang, adik, anak, pak cik, datuk, cikgu, dan semua orang terdekat yang pernah mereka cintai dahulu. Oleh kerana mereka menentang Islam, umat Islam tanpa rasa lemah bangkit berlawan dengan mereka kerana Islamlah ayah mereka, Islamlah keluarga mereka!

Mari kita nilai kembali tangga cinta kita. Siapa yang berada di atas? Allah, Rasul kemudian Ibu bapa atau Ibu bapa, Allah kemudian Rasul? Muhasabah cinta. Mari meraikan bapa-bapa kita pada hari ini. Dan hari-hari.

Walau apa pun, cinta pada ibu bapa paling tinggi antara manusia-manusia lain. Bukan ehem-ehem atau fulan atau fulanah.

(Gambar Hiasan)

p/s:Selamat Hari Bapa untuk bapa-bapa.
p/s/s : Islam keluargaku. Islam bangsaku. Islam Tanah Airku.