Pages

Friday, 30 January 2009

Seni Al-Quran: Babak-Babak An-Naba'

Pernahkah anda terfikir bahawa Al-Quran itu sungguh berseni? Bahasa Arab yang digunakan juga adalah Bahasa Arab yang mendalam sehinggakan ketika Rasulullah membacakan ayat-ayat Al-Quran di hadapan orang-orang kafir Quraisy, mereka menjadi bingung kerana isi kandungan Al-Quran yang tinggi sasteranya melebihi syair-syair mereka. Malah, mereka juga tidak faham akan sasteranya. Mungkinkah kita orang melayu patut merasa cukup faham setelah hanya membaca tafsir ayat untuk memahami isi kandungan Al-Quran? Macam tidak.

Tertanya-tanya tentang berita yang besar

Contoh mudah, di dalam Surah An-Naba', jika diteliti di dalam seluruh surah tersebut terdapat peringkat-peringkat cerita. Contohnya, ayat 1 sampai 5 adalah dalam satu babak iaitu tentang satu khabar berita besar. Kemudian, babak ceritanya seolah-olah tergantung kerana ayat 6 sampai 16 disambung dengan babak lain iaitu tentang kejadian-kejadian alam. Begitu juga dengan babak-babak seterusnya pula iaitu tentang hari kebangkitan, diikuti tentang neraka dan syurga.

Ayat 1-5 di dalam Surah An-Naba':

"Tentang apakah mereka saling bertanya-tanya? Tentang berita yang besar (hari berbangkit), yang dalam hal itu mereka berselisih. Tidak! Kelak mereka akan mengetahui. Sekali lagi tidak! Kelak mereka akan mengetahui."

Penggunaan nada yang betul memang penting untuk menentukan maksud. Contohnya di dalam ayat pertama, Allah menyoal dengan menggunakan perkataan 'AMMA berbanding MA- kerana penggunaan 'AMMA lebih bermaksud seperti menyindir. Jadi, soalan Tentang apakah mereka saling bertanya-tanya? adalah soalan menyindir. Lihat, satu kelebihan bahasa arab berbanding bahasa melayu. Nadanya boleh ditentukan melalui perkataan. Kalau tadi kita hanya melihat tafsiran melayu sahaja, mungkin kita akan membaca ayat pertama sebagai satu soalan pertanyaan biasa, Tentang apakah mereka saling bertanya-tanya? seperti soalan ingin tahu.

Kemudian disambung dengan ayat 6-16 untuk babak kedua:

"Bukankah Kami telah menjadikan bumi sebagai hamparan, dan gunung-gunung sebagai pasak? Dan Kami menciptakan kamu berpasang-pasangan, dan Kami menjadikan tidurmu sebagai istirehat, dan Kami menjadikan malam sebagai pakaian, dan Kami menjadikan siang untuk mencari penghidupan, dan Kami membangun di atas kamu tujuh (langit) yang kukuh, dan Kami menjadikan pelita yang terang-benderang (matahari), dan Kami turunkan dari awan, air hujan yang tercurah dengan hebatnya, untuk Kami tumbuhkan dengan air itu biji-bijian dan tanam-tanaman, dan kebun-kebun yang rendang."

Di dalam ayat 6, Allah menggambarkan bumi sebagai 'al-mihada' (hamparan). Sifat bumi yang menghampar ini merupakan satu kurniaan besar daripada Allah. Seperti seorang ibu menghamparkan karpet di atas lantai yang panas disimbah cahaya matahari. Di atas karpet itulah si anak boleh duduk dengan aman untuk membuat apa sahaja. Maka, seperti itulah juga rahmannya Allah yang menghamparkan bumi di atas magma yang panas untuk memberi kehidupan. Tanpa bumi, tiada penghidupan. 'Al-mihada' juga bermaksud buaian yang membawa sifat keseronokan dan keasyikan. Ya, itulah sifat bumi.


Begitu juga dengan kurniaan Allah seperti gunung, pasangan, tidur, malam, siang, langit, matahari, hujan dan tanam-tanaman. Ayat-ayat ini bukan hanya menyatakan bahawa semua ini ciptaan Allah malah juga menyatakan bagaimana manusia memanfaatkannya dan berinteraksi dengannya (alam). Jadi, ayat-ayat ini juga menunjukkan bahawa interaksi-interaksi antara manusia dan alam ini juga adalah ciptaan Allah. Hebat bukan? Subhanallah.

Maka. tertunjuklah bahawa alam ini ada pengaturan dan pengurusannya. Ada monitornya (Allah) yang mencipta bukan untuk tujuan sia-sia sahaja.

Berbalik kepada persoalan babak satu yang kelihatan tergantung tadi dan disambung pula dengan babak dua (ayat 6-16) yang seperti tak berkaitan di antara satu sama lain. Kemudian, baru disambung dengan ayat 17 yang ada kaitan dengan babak 1 tadi. Untuk melihat perkaitan antara babak, mari cuba bayangkan satu contoh yang lebih kurang:

Pada suatu hari, anda dan beberapa orang pelajar lain sedang berbincang-bincang tentang peperiksaan yang hampir tiba. Anda semua berbalah-balah tentang soalan peperiksaan yang bakal dikeluarkan. Mungkinkah topik 1? Atau 2? Atau 3? Anda semua hanya membuat pengamatan sendiri dan berselisih pendapat.



Tiba-tiba guru yang membuat soalan peperiksaan anda datang tanpa disedari. Beliau menggeleng-geleng kepala sambil berkata, 'Tidak! Kelak kamu akan mengetahui.' Paling meyakinkan -beliau berkata lagi, 'Sekali lagi tidak! Kelak kamu akan mengetahui.' Apa fikiran anda ketika itu? Mungkinkah anda tertanya-tanya, 'Betulkah?'
(seperti Babak 1)

Kemudian beliau berkata, 'Bukankah saya yang bagi tutorial kepada kamu? Dan saya bagi buku teks kepada kamu, dan saya yang tunjukkan penyelesaian, dan saya yang ajar dan beri nota? Untuk kamu faham dan belajar?'
(seperti Babak 2)

Katanya lagi, 'Sungguh, akan tiba hari penilaian (exam) tentang sejauh mana kefahaman kamu. Hari itu adalah hari yang telah ditetapkan. Hari itu, kamu datang berbondong-bondong ke dewan peperiksaan. Hari itu, buku teks diletak di tepi dan tidak berguna lagi.'
(seperti Babak 3)

Begitulah. Sememangnya ada perkaitan di antara babak-babak.

p/s: Baru sedikit daripada satu surah pendek. Nampaknya kami kena mendalami Al-Quran lagi.

Wednesday, 28 January 2009

Tentang Freemason

Islam itu syumul dan sempurna. Ia melengkapi bahagian ibadah, politik, ekonomi, sains, seni, sosial dan sebagainya. Tapi apabila Islam itu sendiri tidak dipegang bagai menggigit dengan gigi geraham, akan berlaku ketidakseimbangan dalam sesuatu bahagian ini. Lantas manusia-manusia mula mengambil satu atau dua bahagian sebagai panduan membuat keputusan. Apabila Islam tidak kukuh dibina di dalam hati, hal-hal seperti politik, ibadah, ekonomi serta sains mula menyeleweng daripada aqidah sebenar.

Siapa sangka, kepercayaan 'free thinker' yang dikatakan moden dan bebas ini sebenarnya wujud daripada zaman dahulukala ketika firaun memerintah Mesir. Firaun dan ahli-ahli sihir telah menjadikan aqidah mereka rosak lantas bahagian-bahagian yang meliputinya juga mula menyeleweng. Ahli-ahli sihir telah mewujudkan teori-teori serong yang akhirnya dipaksa masuk ke dalam teori sains kini. Mereka percaya bahawa alam ini memang sedia ada wujud. Tiada Pencipta. Walaupun teori hanyalah suatu teori kerana tidak dapat dibuktikan dengan sains, teori-teori inilah yang dipelajari kita di dalam zaman teknologi sekarang dalam matapelajaran sains.

Manusia memandang rendah kepada agama. Agama dikatakan sesuatu yang kolot pada zaman ini. Namun, mereka tidak sedar bahawa kepercayaan dan falsafah mistiklah yang menyebabkan tertubuhnya suatu pasukan yang mengubah politik dunia sekitar abad ke 14. Siapa sangka -ia diambil daripada kepercayaan dan teori ahli sihir firaun. Mungkin tamadun Mesir telah lenyap bersama-sama firaunnya dan hanya meninggalkan bangunan tigasegi di tengah padang pasir tetapi aqidah mereka berjaya disambung beberapa abad kemudian.

Firaun tidak meninggalkan kita dengan tangan kosong

Penyampaian 'ilmu' ini berjalan secara tidak langsung. Bermula dengan suatu bangsa pilihan Tuhan (Bani Israel) yang menumpang di bumi Mesir, hidup menghamba diri di sana. Kemudian, muncul seorang demi seorang nabi di kalangan mereka. Mereka dikatakan sebagai bangsa yang dimuliakan Tuhan. Bahkan kisah-kisah mereka banyak diceritakan di dalam kitab Al-Quran sendiri. Namun, mereka telah merosakkan aqidah mereka kerana terpengaruh dengan budaya umat Mesir yang biasa menyembah sesuatu yang dapat dilihat. Kemudian mulalah mereka meminta-minta kepada nabi mereka untuk dibina patung (lihat Surah Al-A'raf: 138-139). Dan mulalah hilang percaya kepada Tuhan yang tidak dapat dilihat oleh manusia (lihat Surah Al-Baqarah: 55). Ini kerana terdorong dengan kebiasaan Mesir menyembah patung, haiwan dan raja mereka sendiri.

Kemudian, mereka mencampuradukkan agama mereka dengan mitos dan ilmu sihir di dunia Firaun dan mengubahsuai kitab dan agama mereka lalu membentuk kepercayaan Kabbalah. Sepertimana yang diceritakan di dalam Al-Quran di dalam Surah Al-Baqarah ayat 102 tentang kaum Bani Israel yang mempelajari ilmu sihir daripada sumber-sumber luar. Lalu, agama mereka menjadi agama yang kucar-kacir, penting diri dan kejam. Seterusnya, agama mereka berkembang dan beranak pinak secara sesat dan berhijrah ke Palestin.

Menurut pakar sejarah Yahudi, Theodore Reinach, Kabbalah adalah "satu racun tersembunyi yang memasuki pembuluh darah agama Yahudi dan mengerumuninya." sedangkan Bani Israel asalnya adalah suatu kaum yang taat menyembah Allah sebagaimana yang difirmankan dalam Surah Al-Maidah ayat 44.


Celebriti barat yang menyokong Kabbalah

Lama selepas itu, apabila tentera salib mengambil-alih Baitul Maqdis, mereka pula terpengaruh dengan Kabbalah iaitu mistik-mistik agama yahudi yang telah dipengaruhi budaya Mesir dengan hanya mengkaji tulisan-tulisan di kuil Yahudi di Palestin.. Maka selepas itu, bermula gerakan bawah tanah yang terpesong dari aqidah Kristian mereka sendiri. Ini membawa kepada perubahan pemikiran dan politik di serata dunia sehingga kini. Contohnya, revolusi Perancis dan Itali. Juga Pemberontakan rakyat Eropah pada abad ke 14. Agama juga dipisahkan daripada sains. Ia kekal sehingga kini.

Dan siapa sangka, ia bermula sejak Tamadun Mesir Purba...

Jadi sekarang, Islam boleh disebarkan dengan taktik tackle hati manusia sebab dari segi politik, ekonomi, akademik, dan sebagainya susah diubah daripada sekularism. Seperti hadith Rasulullah s.a.w., "...Ketahuilah, bahawa di dalam jasad manusia terdapat segumpal daging. Jika ia baik, maka baik pula seluruh jasadnya, dan jika ia rosak, maka rosak pula seluruh jasadnya. Ketahuilah bahawa segumpal daging itu adalah hati." (h.r. Bukhari dan Muslim)

(1/4 daripada Bab Satu cerita Freemason)

Lambang Freemason

Wednesday, 24 December 2008

Kisah Puteri dan Budak

Pada suatu hari, Puteri bangun dari tidur dengan mata yang basah. Entah mimpi apa gerangannya yang menyedihkan Tuan Puteri sehingga air matanya turut melimpah apabila terjaga. Puteri kerap bermimpi sedih kerana hidupnya kesepian. Hidup sebagai seorang Tuan Puteri bukanlah hebat sangat sebagaimana yang diidamkan gadis-gadis kebanyakan. Tuan Puteri terkurung di istana besar tapi tertutup daripada udara luar. Tuan Puteri terasa sesak. Mungkin kali ini mimpinya lebih sedih daripada mimpi-mimpinya yang biasa. Namun, Tuan Puteri gagal mengingat apa mimpinya tadi.

Menjelang tengah hari, keadaan Tuan Puteri menjadi luar biasa. Air matanya tetap mengalir dari mata kirinya. Maka, Tuan Puteri kelihatan seperti seorang yang sedang bersedih walaupun hakikatnya dia sedang bergembira. Air mata dari mata kiri Tuan Puteri tetap mengalir sehinggalah malam menjelma. Tuan Puteri menjadi gelisah dan sedih di atas kejadian pelik yang menimpa dirinya itu. Dia pun mengadu kepada bondanya, Si Permaisuri.

"Mungkin, anakanda sudah lama tidak menangis. Maka, simpanan air mata anakanda menjadi penuh dan melimpah," kata bondanya.

Apabila hal ini ketahui oleh ayahanda Tuan Puteri, baginda lantas menitahkan agar penghibur istana menghadap. Malam itu, Tuan Puteri dihiburkan dengan pelbagai ceritera dan penghibur sukma. Namun, air mata Tuan Puteri masih tetap mengalir.

"Mungkinkah penyakit anakanda ini perlu diubati tabib?" Fikir Si Raja.

Maka baginda pun menitahkan agar seluruh tabib datang menghadap. Pelbagai cara dan usaha telah dilakukan untuk mengubati Tuan Puteri tetapi usaha mereka gagal belaka. Malah, tabib diraja juga sudah gagal terlebih dahulu. Jadi, keesokan harinya Raja menitahkan bahawa jika ada sesiapa sahaja di negara itu yang mampu mengubati Tuan Puteri, baginda ada mengurniakannya dengan kurniaan yang besar.

Mendengarkan titah itu, beratur panjanglah rakyat jelata di hadapan istana bagi mencuba nasib untuk mengubati Tuan Puteri. Ada yang menyanyi, berseloka, menari, menjampi, dan turut ada yang mempersembahkan makanan yang lazat belaka bagi mengembalikan keceriaan mata Tuan Puteri. Namun, tiada satu keberhasilan yang berlaku sehingga seluruh istana berasa dungu.

Sampailah giliran seorang budak lelaki yang muda dan bercahaya. Raja bertanya padanya, apakah yang dia boleh mengubati Tuan Puteri. Lantas dia menjawab, "Boleh, dengan izin Tuhanku". Raja pun berasa aneh dengan jawapan si budak, lalu baginda bertanya,

"Siapakah kamu?"

"Aku hamba Allah."

"Apakah Tuhanmu boleh mengubati puteriku?"

"Boleh, jika Tuhanku kehendaki."

"Bagaimana caranya?" Tanya Raja lagi.

Lalu si budak duduk melutut dan bersujud serta mengangkat tangan untuk berdoa. Tidak lama selepas itu, air mata Tuan Puteri berhenti mengalir. Lalu seluruh warga istana bersorak meraikan terubatnya penyakit Tuan Puteri. Sorakan itu tidak lama kerana tiba-tiba air mata Tuan Puteri mengalir lagi. Kali ini, lebih banyak dari kedua-dua matanya. Maka Si Raja pun berang dah murka kepada si budak. Namun, baginda dihalang Tuan Puteri dan dia berkata,

"Wahai ayahanda, sebenarnya mata anakanda sudah terubat dengan perlakuan si budak itu. Yang anakanda tangis ini tidak lain hanyalah kerana harunya anakanda kepada kuasa Tuhan budak itu. Rupa-rupanya penyakit anakanda itu disebabkan lamanya anakanda kehilangan hati. Sekarang, anakanda ini menangis kerana merindukan Tuhan budak itu. Ayahanda ketahuilah bahawa anakanda bersaksi bahawa Tuhan budak itu benar." Tuan Puteri menangis teresak-esak.

Melihat kejadian itu, Raja turut menangis teresak-esak. Kemudian, Raja dan Permaisuri, seluruh istana serta rakyat jelata turut bersaksi akan kekuasaan Tuhan. Sehingga berkurun-kurun lamanya, seluruh rakyat di pelusuk negara itu bersujud kepada Allah sejak berlakunya kisah Tuan Puteri dan si budak.

Friday, 5 December 2008

rak buku berhabuk

cuti musim panas...
apa kalian dan kalian buat mase cuti summer ni? sekarang saye ade kat kmpung.. dan saye nak share perasaan saye apabila melihat rak2 buku arwah atuk
buku-buku arwah sgt banyak. tak dpt digambarkan dgn perkataan. kalau dulu, saye dah lame tau dia ada byk buku, tp tak pernah pula nak ambil tahu pasal buku2 tu. tapi semenjak diri ini kenal dgn tarbiyah dan semangat utk membaca buku telah ditiupkan oleh naqibah, maka hati ini telah melihat buku2 itu dari sudut yg lain.

sungguh tak kusangka, tok ayah simpan buku2 lama, ada juga antaranya yg ada dlm wishlists. spt Asbabul Nuzul, Rahsia Palestin.. hehe tu belum masuk tafsir quran. saye berazam utk meng'usha' buku2. percaya atau tak, buku2 tu tak habis lg di'usha'.. itu baru takat usha... belum lagi nak tgk

nanti saya akan tgkap gmbar kalau berkesempatan dan post kat sini..

p/s: saye berazam ada orang nak wasiatkan kepada saye utk memiliki buku2 ini.

Monday, 3 November 2008

Cerita Lama

Teringat suatu kisah yang berlaku pada bulan lepas. Aku, emak, ayah, abang dan adik-adik menghadiri kenduri pada beberapa hari selepas 1 Syawal. Jemputan kenduri pada hari itu terlalu banyak sehingga ada beberapa yang diskip atau dikunjung untuk menghantar hadiah sahaja. Kisahnya bermula di majlis kenduri kahwin yang terakhir.

Aku hanya menurut sahaja ajakan emak dan ayah untuk turut sama ke kenduri itu walhal aku tidak pernah kenal tuan rumah. Emak dan ayah hanya membuat konklusi, "Kawan lama ayah." Yang memalukannya, baju aku betul-betul sama warna dengan pengantin. Hijau yang susah nak jumpa. "Kakak menyorok," teringat kata-kata abang bila aku duduk di meja hentian rehat PLUS yang totally sama warna dengan baju hijau aku tu. Dahlah songket juga. Kalau aku naik pelamin di situ, aku boleh jadi pengantin terjun he he.

Masa kami makan-makan tu, bukan main baik tuan rumah layan kami. Bagus betul, sebab selalunya tuan rumah tak sempat nak layan semua orang tapi yang ni lain ceritanya. Siap ambilkan makanan untuk kami setiap orang. Mula-mula laksa, lepas tu teh pula dan macam-macam. Mula-mula aku musykil juga dengan aunty ni tapi aku diam saja sebab sangatlah tak baik kalau dzon (prasangka) kat orang.
"Jauhilah banyak dari prasangka, dan sesungguhnya sebagian prasangka itu dosa.." (Al-Hujurat: 12)
Aku asyik gelakkan abang yang blushing sebab aunty tu asyik buat muka terkejut dengan ayat yang asyik berulang-ulang, "Handsomenya anak hang ni..." Lepas tu, aunty tu ajak mak cik lain untuk menikmati juga muka abang. Aku gelak belakang-belakang je. Dahlah abang pakai baju pink. Jambu gile.

Lepas tu, aku tertanya-tanya sama ada tuan rumah ni kawan emak atau ayah sebab mak pun macam sangat meriah dengan aunty dan adiknya tu. Ayah pula senyum je dari tadi. Senyap. Mak pula siap tanya khabar kawan-kawan lain melalui adik aunty tu. Berborak dengan proper sekali. Itu yang membuatkan aku lebih ingin tahu.

Rupa-rupanya kisah terbongkar bila kami naik kereta. Mak kata, adik aunty tadi tu awek lama ayah. Berdekah-dekah kami gelak dalam kereta especially sebab emak beria-ia usik ayah dan ayah pulak blushing bila emak bukak peristiwa-peristiwa cinta ayah. ha ha.

Patutlah mak cik dua beradik tu suka abang. Sebab ada muka ayahnya. Aha ha ha. Dan patutlah ayah diam je. Dan patutlah cara mak cik tu dan emak berbaik lain macam. Aku tahu macam mana.

Kalau tengok cerita ayat-ayat cerita, lebih kurang macam telatah Nurul bila dipertemukan dengan Aisya. Walaupun orangnya memang baik. Layanannya jadi gelabah dan terlalu teliti. Ada sedikit cemburu, sedikit mahu impres. Susah nak describe. Walaupun kisah lama, perasaan pun sudah tiada tapi bila bertemu macam inilah jadinya.


Ada yang cakap, bertuah juga ada melalui zaman-zaman macam tu dulu. Sekurang-kurangnya ada kenangan manis yang boleh dikenang, katanya. Aku pula terfikir, perkara-perkara macam ni boleh membantutkan sebenarnya. Especially apabila berurusan dengan orang kisah silam, fokus boleh hilang sebab kenangan lama dan perasaan lama boleh timbul. Kalau bidang profesional bolehlah tahan lagi. Kalau da'wah? Haru biru juga jadinya.

So, biarlah kita generasi terakhir yang melalui zaman 'keanak-anakan' ini. Kisah silam boleh mempengaruhi masa depan, walaupun ada yang tak mengakuinya. Baitul Muslim perlu segera dididik dan dibina dalam masyarakat (dan sudah tentu, perlu bermula dengan individu yang benar-benar muslim).
يأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُواْ اجْتَنِبُواْ كَثِيراً مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ وَلاَ تَجَسَّسُواْ وَلاَ يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضاً أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتاً فَكَرِهْتُمُوهُ وَاتَّقُواْ اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ تَوَّابٌ رَّحِيمٌ

Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah banyak dari prasangka, dan sesungguhnya sebagian prasangka itu dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain, dan janganlah ada di antara kamu yang menggunjing sebagian yang lain. Apakah ada di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu merasa jijik. Dan bertakwalah kepada Allah, sungguh Allah Maha Penerima Taubat, Maha Penyayang. (Al-Hujurat: 12)