Pages

Thursday, 18 October 2007

graf emosi


Graf emosi

Mula-mula saya lukiskan paksi graf. Di paksi y adalah 'emosi saya' dan di paksi x adalah 'usia'. Selepas itu saya plotkan perasaan overall saya bagi setiap tahun. Walaupun bentuk grafnya buruk (mungkin kerana barisan plot yang tidak cantik atau kerana tangan tak berseni), tapi hasilnya memang memberi kesan dalam diri.

Menilai semula mengapa kita sedih atau gembira atau tiada perasaan bagi setiap tahun, dapat mengimbau semula kisah-kisah silam yang indah dan tak indah. Pada awal usia, saya plotkan gembira kerana saya masih kanak-kanak ketika itu. Jadi saya andaikan hidup saya ketika itu penuh dengan kegembiraan, jauh daripada tanggungjawab dan tugasan.

Melihat tahun-tahun yang menyedihkan, mungkin kerana ada kematian atau kisah yang memberikan kesan yang mendalam dalam diri. Namun, kebanyakannya kerana saya sedih apabila membayangkan kembali hidup saya ketika itu. Bukan marah pada sesiapa, tetapi diri sendiri kerana memiliki sikap yang tidak matang dan bermain-main. Saya andaikan diri saya pada ketika itu seorang yang teruk.

Mengapa kita menganggap tahun itu menyedihkan? Sedangkan ketika itu kita sangat gembira dengan diri kita. Mengapa ya?

Ini kerana syaitan telah meletakkan perasaan yang salah dalam hati kita ketika itu. Kita berasa gembira walaupun melakukan perkara-perkara yang salah. Dan sekarang, kita sedih kerana sekarang kita tahu Allah marah pada diri kita ketika itu. Maka, tahun itu dianggap tahun yang menyedihkan walaupun kita gembira pada waktu itu.

Melalui graf ini, kita dapat menilai tahap perubahan dalam diri kita dan dapat menjadikan diri kita insan yang lebih baik. Serta-merta kita akan mengelakkan tahun itu menjadi tahun yang 'menyedihkan' supaya bentuk graf kita lebih cantik. Maka dengan itu, harap-harap nilai plot graf makin menaik ke atas kerana kita melakukan perkara yang Allah sukai. =)

Saturday, 15 September 2007

cinta


selamat pengantin baru sensei mazuin -19 ogos 07

Menyingkap tirai hidup manusia yang sentiasa rindukan seorang teman. Cinta dan sayang, mana satu yang lebih mendalam? Adakah kita cinta pada ibu kita atau kita sayang kepadanya? Bagaimana pula dengan perasaan kita terhadap Allah? Saya selalu membandingkan antara cinta dan sayang, melihat-lihat manakah yang lebih hebat antara kedua-duanya.

Di dalam Al-Quran, Allah lebih banyak membahasakan cinta daripada sayang -cinta kepada Allah, cinta kepada Rasul, cinta kepada ibu bapa, cinta kepada teman-teman, cinta kepada dunia. Cinta -jauh lebih mendalam daripada sayang. Namun, manusia sering menyalahgunakan perkataan cinta sehingga ia sering sahaja muncul pada tempat-tempat yang tidak salah.

Sudah menjadi fitrah manusia untuk memberi dan mengambil, mencintai dan dicintai. Malah hawa dicipta daripada rusuk adam sendiri. Kata orang, tulang rusuk haruslah pulang kepada tuannya. Fitrah = semulajadi. Fitrah burung terbang, fitrah katak melompat, fitrah manusia bercinta. Cinta pada siapa? Siapa yang terlintas di fikiran kita sekarang? Si Fulan/Fulanah?

Allah! Cintalah kepada Allah! Cintalah kepada Rasulullah! kemudian ibu bapa, keluarga, guru, sahabat,...

Benar, setiap remaja sudah bersedia untuk membina rumahtangga ketika mencecah 16 tahun. Percaya atau tidak, hal ini dapat dilihat melalui belia sekarang. Jangan dicari kepada belia-belia yang bermasalah untuk melihatnya. Pandang saja kiri dan kanan kita, lantas kita boleh nampak jawapannya. Tepuk kepala tanya minda.

Bercakap tentang cinta remaja seolah-olah bercakap tentang isu politik negara. Isu common. Malah manusia mana yang tidak pernah merasai cinta? Tidak mahu mengulas tentang perlakuan dan perbuatan, tapi lihat pada hati. Siapa yang bertakhta di hati kita? Sedangkan Allah dan Rasul yang mesti diutamakan dari ibu bapa dan nyawa, inikan pula si intan payung, harta, dan maruah. Namun, bila bertanya kembali pada hati, nama ibu bapa pun muncul yang kedua, maka di mana letaknya Allah?

Apa niat kita bercinta, sampai ke akad nikah atau suka-suka memenuhi fitrah?

Friday, 14 September 2007

antara tahu matlamat dan faham matlamat

Saya kurang dengar soalan yang ditanyakannya tapi bila mendengar jawapan yang diberi oleh Dr Lan, saya rasa Melissa bertanya tentang tujuan mengapa Young buat begitu. Eksperimen double slit, menunjukkan bahawa light is wave. Memikirkan kata-kata itu, saya terus mengangguk-angguk faham lantas tiba-tiba bersemangat pula nak terus mendengar lecture. Tapi saya bingung, tatkala memikirkan kembali mengapa semangat dan anggukan itu tiba-tiba hadir bila saya faham objektif eksperimen Young double slit. Apakah tindakan refleks itu membawa suatu maksud atau hanyalah suatu pergerakan otot sesuka hati?

'Objektif'~

Bila cikgu membacakan objektif pembelajaran bab dalam kelas, tak ramai murid yang memberi sepenuh perhatian. Kemudian wujudlah satu belia yang kehidupan pembelajaran mereka disogok-sogok dengan peperiksaan tanpa memahami sebab mereka belajar sesuatu perkara. Apa pentingnya memahami objektif sesuatu perkara? Mengingat kembali anggukan bersemangat saya pagi tadi, saya sedar betapa penting memahami objektif sesuatu perkara sebelum mempelajarinya.

Kalau tak faham objektif pembelajaran, kita main serbu saja belajar tapi bila masuk dunia luar, kita tak tahu apa yang perlu diaplikasikan. Sebabnya kita sendiri tak faham dengan hati apa yang kita belajar selama ini. Young double slit -saya tahu macam mana nak masukkan equation, saya tahu macam mana rupa eksperimen dan saya tahu apa yang diajarkan. Saya tahu matlamat pembelajaran. Namun, saya geram sebab saya tak tahu mengapa saya kena belajar perkara yang saya anggap merepek dan saya tak dapat nak mengaitkannya dengan dunia sebenar. Rupa-rupanya, sebelum ni kefahaman matlamat terhadap eksperimen Young tak lengkap sebab saya tak faham apa tujuan Young dan apa matlamat Young. Saya tahu matlamat tapi tak fahaminya.

Sejarah dan matlamat sememangnya suatu perkara compulsory dalam hidup tapi ramai yang menganggapnya sebagai suatu perkara yang membosankan (Tak sah kalau tak tersengguk-sengguk dalam kelas sejarah). Melalui sejarah, kasih sayang, ilmu dan pengalaman bertambah. Bila tonton Muhammad Utusan Terakhir, baru terasa berkobar-kobar bendera jihad dalam hati dan bertambah kasih pada Rasulullah. Bila tahu tujuan derivative, makin senang nak jawab soalan Maths sebab dah tahu di mana nak aplikasikan.

Memahami matlamat jauh lebih penting daripada mengetahui matlamat. Ramai umat islam tahu, Al-Quran itu Kalamullah. Menyucikan hati, memberi petunjuk. Namun, tak ramai yang jadikan Al-Quran sebagai pegangan utama, tidak hidup di bawah bayangan Al-Quran. Terbukti, tak ramai yang faham matlamat Al-Quran diturunkan. Apa yang mereka tahu, membacanya memperoleh pahala, dekat dengan Allah.

"Belajar, kerja, kahwin, anak, anak, anak..." kemudian??

Apa itu matlamat hidup?

"berjaya di dunia dan akhirat..." kata si A.

"mencari keredhaan Allah..."
kata si B pula.

Tapi Al-Quran sehari sekali pun tak sentuh, solat terkebelakang. Nama manusia muncul lebih banyak dalam hati berbanding Allah. Fikiran lebih mengingati manusia berbanding Allah. Lebih banyak menangis kerana manusia berbanding Allah. Sudahkah kita mencapai matlamat hidup? Atau hanya cakap tak serupa bikin?

Apa matlamat hidup kita? Dan yang paling penting, apa usaha kita ke arahnya? Dan apakah yang kita lakukan sekarang mendorong ke arahnya? Tepuk dada tanya iman.

Thursday, 13 September 2007

seluruh alam terpaksa berserah diri kepada Allah?

Terbeliak biji mata saya bila saya dengar ayat tu. Terus-menerus saya memandangnya, mengambil kepastian sama ada saya tersalah dengar atau memang begitu ayatnya. Saya memandang kawan-kawan yang lain. Ternyata reaksi mereka sama tatkala saya lihat semuanya tampak terkejut dan memandang ke arahnya. Dia berhenti menyambung ayat seterusnya kerana dia tahu yang kami masih memikirkan ayat tadi. Dia tersenyum.

"...seluruh alam TERPAKSA berserah diri kepada Allah..."

Suatu hari saya terjumpa ayat 83 dalam surah Ali 'Imran yang menambahkan keyakinan saya akan penjelasan dia.

"Maka mengapa mereka mencari agama yang lain selain agama Allah, padahal apa yang di langit dan di bumi berserah diri kepada-Nya, (baik) dengan suka mahupun terpaksa, dan hanya kepada-Nya mereka dikembalikan?"

Memang benar. Akan tercatat di setting minda dan akal kita bahawa 'terpaksa' itu sesuatu yang dilakukan tanpa kerelaan. Ditolak, di'push', ramai yang benci perkataan ini. Tambah-tambah bagi kami pelajar-pelajar tahun pertama engineering yang asyik mempelajari tentang 'force' yang menyebabkan 'motion' sesuatu benda. Ya, memang benar perkataan terpaksa itu menunjukkan yang seseorang itu mesti melakukan sesuatu hal itu tetapi tidak semestinya tanpa kerelaan.

Langit, bumi dan semua yang berada di antara kedua terpaksa menyembah Allah. Tapi, dengan rela hati dan ingin melakukannya. Mungkin sukar bagi kita mengaitkan perkataan paksa dan rela kerana setting kepala kita dah letakkannya sebagai dua hal yang bertentangan.

Jadi, cuba fikirkan analogi ini:

Makan. Bila kita renungkan ayat, 'manusia terpaksa makan', ia ternyata memang benar kerana fitrah manusia kalau tidak makan, manusia akan berasa lapar! Jadi manusia terpaksa makan setiap hari. Padahal tiada siapa yang paksa kita makan kerana kita tiada pilihan lain selain makan. Ya, itu perkataan yang sebenarnya. KITA TIADA PILIHAN. Namun, pernahkah terlintas di fikiran kita bahawa makan itu adalah suatu paksaan? Malah kita melakukannya dengan rela dan suka hati!

Begitu jugalah istilah terpaksa menyembah Allah. Contohnya, makhluk Allah yang bernama bayang-bayang. Bayang-bayang atau 'shadow' ini tiada pilihan lain selain mengikut bentuk benda asal. Bayang-bayang kita terpaksa mengikut bentuk kita kerana tentu manusia hidup ketakutan kalau bayang-bayang boleh mengikut bentuk sesuka hatinya.

Dari sini, dapatlah kita tahu bahawa bayang-bayang kita dicipta untuk kita. Padahal kita tak sedar bahawa sesungguhnya seluruh langit dan bumi ini dicipta untuk tunduk kepada manusia! Lihatlah betapa tingginya darjat manusia sebagai khalifah. Allah telah memuliakan manusia sehinggakan para malaikat yang kita pandang tinggi telah pun tunduk pada Adam. Namun, ramai manusia yang menjadikan diri sendiri hina hingga menjadi sekutu syaitan yang direjam.

Roh manusia juga datangnya dari Allah, roh Allah. Manakah perkara yang lebih mulia daripada ini? Sesungguhnya kemuliaan yang Al-Quran beri kepada manusia jauh lebih tinggi daripada kemuliaan yang manusia beri sesama manusia.


Allah memuliakan manusia dengan menciptakan seluruh langit dan bumi untuk manusia. Untuk memudahkan manusia. Ya, kucing, awan, gunung, angin, habuk, bayang-bayang, bunyi, masa, semuanya makhluk Allah yang diciptakan untuk manusia. Betapa tingginya darjat manusia di sisi Allah. Sedangkan berapa ramai yang benar-benar bersyukur?

Saturday, 8 September 2007

istidraj


Takutilah dengan istidraj.
Manusia istidraj ialah manusia yang
lupa daratan. Walaupun berbuat
maksiat, dia merasa Allah
menyayanginya. Mereka memandang hina
kepada orang yang beramal. "Dia tu
siang malam ke masjid, basikal pun tak
mampu beli, sedangkan aku ke kelab
malam pun dengan kereta mewah. Tak
payah beribadat pun, rezeki datang
mencurah-curah. Kalau dia tu sikit
ibadat tentu boleh kaya macam aku,"
katanya sombong. Sebenarnya, kadang-
kadang Allah memberikan nikmat yang
banyak dengan tujuan untuk
menghancurkannya.

Rasullulah s. a. w. bersabda : "
Apabila kamu melihat bahawa Allah
Taala memberikan nikmat kepada
hambanya yang selalu membuat maksiat
(durhaka),ketahuilah bahawa orang itu
telah diistidrajkan oleh Allah
SWT."(Diriwayatkan oleh At-Tabrani,
Ahmad dan Al-Baihaqi

source:
http://umarakbar.blogs.friendster.com

mengulas,
Istidraj, kelebihan yang Allah beri kepada orang-orang yang sesat untuk menyesatkan lagi mereka.
Bagi menguji dan memberi petunjuk kepada orang-orang beriman..