Pages

Saturday, 22 August 2009

warkah ramadhan


Allahu Robbi,

Sunggguh aku tak sangka dan aku masih tak percaya; Ramadhan datang lagi. Pada hamba yang penuh noda, saat penyucian sudah tiba. Terasa-rasa, bagai terlihat-lihat pintu keberkatanMu Kau buka. Bagai ternampak rahmat dan kasih sayangMu turun dari langit; bagai dijunjung malaikat yang berarak bernyanyi riang. Ini bulanMu, bulan rahmat dan kasih sayangMu.

Allahu Robbi,
Alhamdulillah, segala puji bagiMu atas kurniaan ini; satu bulan tanda kasihMu kerana kami bukan ummat yang panjang usia seperti ummat terdahulu. Segala puji bagiMu yang memberi kami peluang, dan keringanan untuk menggandakan amal. Manakan, amalan sunat sama ganjarannya dengan amalan wajib, amalan wajib digandakan ganjarannya 70 kali ganda. Kiranya jika aku senyum dan memberi salam pada sahabatku, aku sudah beroleh pahala solat dalam bulan-bulan biasa, MasyaAllah…

Allahu Robbi,

Namun Kau tahu hati kami gentar. Kami lemah Tuhanku, dan Ramadhan ini terlalu senteng dan pantas berlari. Kami takut tak terkejar, bila dunia juga sentiasa mengejar. Kami takut Ramadhan ini masih sama dengan Ramadhan terdahulu. Kami gusar jika Ramadhan ini kami masih gagal pulang ke fitrah, langsung gagal untuk kembali menemuiMu…

Allahu Robbi,

Berilah kami kekuatan, kerana kekuatan hanya padaMu. Kami panjatkan doa; anugerahilah kami dan seluruh insan di sisi kami, dan seluruh insan yang kami cintai, taufiq dan hidayahMu, dengan barakah Ramadhan al-Mubarak ini; bulan yang mana Engkau maqbulkan doa hamba-hambaMu yang berdoa.

Amin.

Taqabbal Allahu minna wa minkum
...


Tuesday, 4 August 2009

saya racist ?

Dilabel sebagai mengamalkan ‘racial bias’ atau ‘being racism’ , mulanya ada sedikit rasa tidak enak. Tetapi selepas difikirkan balik, saya tergelak seorang diri. Lucu rupanya dipanggil ‘racist’. Lucunya ialah pada orang yang tampak begitu intelek dan berfikiran terbuka dan global, tapi rupanya dalam sesetengah aspek masih belum cukup matang dan tidak dapat menerima orang lain seadanya.


Apa itu ikhlas? Apa itu melakukan sesuatu hanya kerana Allah?


Orang sering berkata, mencintai seseorang kerana Allah, atau bersahabat hanya kerana Allah. Tapi, benarkah? Bagaimanakah mencintai kerana Allah? Adakah mencintai Allah terlebih dahulu, kemudian mencari apa-apa yang dicintaiNya, dan mencintai perkara tersebut walau ia bukan yang kita cintai? Ataukah mencintai kerana cinta itu dari Allah, kemudian bercinta berlandaskan jalan Allah?


Bagaimana bersahabat kerana Allah? Adakah dengan memilih orang yang Allah sukai, kemudian merapati dan mengasihinya? Ataukah mengasihi sahabat-sahabat di sekeliling seadanya kerana Allah menyuruh kita saling berkasih sayang dan menjalin ukhuwwah?


Orang berkata, saya ikhlas bersahabat dengan awak; saya tak perlukan sebarang balasan. Tapi, bukankah bila kita menghulurkan salam persahabatan, kita mengharapkannya bersambut? Bila kita menganggap kawan itu sebagai sahabat, fitrahnya kita juga mengharapkan dia menganggap kita sebagai sahabat. Bila kita menghargai dan menghormati, kita juga berharap untuk dihargai dan dihormati.


Umumnya ikhlas pada pegangan manusia ialah, tidak dilandasi oleh harta benda, pangkat, status, rupa, IQ dll. But at the end, we still want to regain from what we spend; in case of relationship, it is companionship.


Relakah, menjadi sahabat tapi tidak dianggap sahabat?


Menemani tapi ditinggalkan?

Menghormati tapi direndahkan?

Memberi tapi dilupakan?

Menyayangi tapi diabaikan?


Sungguh, ikhlas itu lebih daripada menjadi lilin. lilin, membakar diri, tapi akan kehabisan. Sedang sumber untuk melakukan pembakaran, yakni oksigen, tidak pernah terhad. Lilin yang menerangi gelap, tapi cahayanya terlalu menuntut perhatian, dan terlalu bertumpu pada satu titik.


Ikhlaslah, seperti lampu pendarfluor yang selalu tidak disedari.


Innamal a`mal lu binniat. Berhijrah kerana perempuan, maka perempuan yang kamu peroleh. Bersahabat kerana teman, maka companionship yang kamu peroleh.


Sungguh seni ikhlas ini amat berat.


Sedikit dendam bercambah di hati saya. Saya hampir memutuskan untuk mengabaikan dia, sebelum saya teringat bahawa saya tidak bersahabat dengannya kerana dia mahu bersahabat dengan saya (^_^)

Sunday, 21 June 2009

Ayah Saya Ramai

Saya mengakui bahawa saya hanya memiliki seorang ayah kandung. Dia merupakan seseorang yang istimewa baik dari sudut seorang lelaki atau seorang ayah. Dia suka mencuba pelbagai perkara baru dalam masa yang singkat. Dan saya sebagai seorang pendampingnya sejak lebih 20 tahun lalu juga mewarisi sifat-sifat sebegitu. Mungkin orang lain juga sama. (Sifat boleh diwarisi oleh keturunankah?) Sebenarnya boleh. Kalau orang teliti betul-betul, andai kata saya ni suka ketawa kuat atau cepat emosional atau sopan-santun, kemungkinan besar ia diperturunkan daripada ibu atau bapa atau sesiapa yang membesarkan saya. Kaji ya?

Menjelang hari bapa ini, saya juga tidak mahu ketinggalan daripada melafazkan lafaz yang tersimpan kepada ayah melalui sms. Tapi, dalam banyak-banyak ayah, saya hanya mampu hantar kepada ayah kandung saya. Ayah lain tak ada handphone.

Ayah mertua ke?

Mungkin ya bagi orang lain. Namun, saya belum lagi he he. Ayah yang saya maksudkan adalah orang lain. Saya suka untuk mengajak semua merenung suatu hadith:

"Sesungguhnya diriku bagi kalian bagaikan seorang ayah bagi anaknya." (h.r. al-Darimi)

Selain meraikan ayah kandung, ayah angkat, ayah tiri atau ayah mertua, marilah kita meraikan ayah kita yang lebih agung, Rasulullah s.a.w. Baginda merupakan ayah yang terbaik. Yang telah membantu kita di dunia dan pasti membantu kita di akhirat. Baginda merupakan ayah kita yang paling baik akhlaknya, paling hebat taqwanya. Oh ayahku Rasulullah..

Saya merasa rindu dengan ayah. Saya ingin berdamping bersama ayah-ayah saya.

Saya ada lagi satu ayah yang lebih besar. (Banyaknya ayah kau) He he.

Ingat semasa perang Badar, perang pertama dalam sejarah Islam. Ia tidak dirancang sebagai sebuah perang. Bermula dengan perjalanan 313 orang rijal ke arah kafilah kafir quraisy dengan niat untuk mengambil semula harta rampasan milik mereka. Puak kafir quraisy Mekah pula salah anggap. Namun, dengan bantuan Allah melalui kedatangan seribu malaikat, perang Badar berakhir dengan kemenangan di pihak Islam.

Apa yang unik dalam perang Badar? Umat Islam yang 313 tadi menentang ayah, abang, adik, anak, pak cik, datuk, cikgu, dan semua orang terdekat yang pernah mereka cintai dahulu. Oleh kerana mereka menentang Islam, umat Islam tanpa rasa lemah bangkit berlawan dengan mereka kerana Islamlah ayah mereka, Islamlah keluarga mereka!

Mari kita nilai kembali tangga cinta kita. Siapa yang berada di atas? Allah, Rasul kemudian Ibu bapa atau Ibu bapa, Allah kemudian Rasul? Muhasabah cinta. Mari meraikan bapa-bapa kita pada hari ini. Dan hari-hari.

Walau apa pun, cinta pada ibu bapa paling tinggi antara manusia-manusia lain. Bukan ehem-ehem atau fulan atau fulanah.

(Gambar Hiasan)

p/s:Selamat Hari Bapa untuk bapa-bapa.
p/s/s : Islam keluargaku. Islam bangsaku. Islam Tanah Airku.

Saturday, 23 May 2009

di bawah bayangan

Kata-kata awal As-Syahid Sayyid Qutb di dalam muqaddimah fi zilalil qurannya;

Hidup di bawah bayangan Al-Quran adalah suatu kenikmatan yang tidak dapat diketahui melainkan hanya oleh mereka yang mengecapinya sahaja. Ia adalah suatu kenikmatan yang meluhur, memberkati dan membersihkan usia seseorang.

Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah yang telah mengurniakan kepadaku kenikmatan hidup di bawah bayangan Al-Quran selama beberapa waktu, di mana aku telah mengecapi nikmat yang tidak pernah aku kecapi sepanjang hidupku, iaitu nikmat yang meluhur, memberkati dan membersihkan usiaku.

Di pagi yang indah di bumi Sunway, dimulakan dengan tilawah Suratul Fajr, sebagai meraikan waktu pagi. kami teruskan kemudiannya dengan diskusi muqaddimah zilal; yang masih terngiang-ngiang sampai saat ini, yang memaksa saya untuk mencatat sesuatu tanpa cuma berdiam diri.

As-Syahid, merupakan hamba Allah yang dianugerahkan nikmatNya, untuk hidup dalam lembayung Al-Quran. Awal-awal dahulu, saya mentafsirkan pernyataan ini sebagai; sentiasa hidup bersama Al-Quran, selalu membaca Al-Quran dan sentiasa mengamalkannya. tapi semakin masa berlalu, insyaAllah kefahaman juga semakin dewasa. Al-Quran itu tidak lain, adalah Kalamullah, wahyu dari Allah, yakni kata-kata Allah yang disampaikan kepada hambaNya Muhammad melalui perantaraan malaikatNya Jibril. dan tidak lain kalam itu disampaikan kepada Muhammad, sebagai perantaraan untuk disampaikan kepada umat manusia seluruhnya.

hidup yang di bawah lembayung Al-Quran, tidak lain adalah hidup di bawah pedoman daripada Al-Quran, yang tidak lain adalah merupakan petunjuk yang langsung berasal dari Robbul 'Alamin. maka jalan manakah lagi yang membawa kepada keredhaan Allah, selain jalan yang telah ditunjuki olehNya sendiri ?

As-Syahid berkata; kenikmatan ini tidak akan dapat pernah dirasai kecuali oleh orang yang melaluinya sahaja; yakni tidak ada orang yang dapat merasakan kenikmatan hidup yang lebih besar daripada kenikmatan kehidupan yang bersandarkan bimbingan dan petunjuk daripada Allah.

As-Syahid Sayyid Qutb ini pada zaman jahiliyahnya adalah seorang sasterawan terulung, yang banyak melahirkan karya yang berkualiti.beliau berkarya dalam keadaan sedar (under concious mind), hasil minat peribadi, bakat yang ulung, dan luahan perasaan yang mendalam. beliau disanjung sebagai sasterawan dan ilmuwan yang diiktiraf negara dan masyarakat.maksudnya, Sayyid Qutb ini adalah seorang sasterawan yang biasanya berjiwa sangat sensitif, beliau hidup dalam lingkungan yang benar-benar menjadi minatnya dengan bakat yang mengalir dalam darahnya, seterusnya dia beroleh pengikitirafan yang besar daripada hasil kerjanya. maka, bagi seorang manusia, apakah kepuasan yang lebih besar daripada ini ?

seorang engineer yang sangat menggilai reka cipta, dengan bakat yang besar dalam dirinya, menghasikan produk yang sangat inovatif dan berkualiti tinggi, seterusnya meraih sanjungan dan penghargaan hasil titik peluhnya. apakah lagi yang diinginkannya ?

oh, rupanya tidak. rupa-rupanya masih ada kenikmatan yang lebih besar daripada itu, yang tidak dapat diketahui oleh orang yang tidak hidup selain berpandukan petunjuk Allah semata-mata, dengan menolak keinginan nafsu sendiri dan logik akal yang banyak lompong kelemahannya.

hidup selama 40 tahun dalam dunia sastera beliau, selepas penghasilan pelbagai karya dan memperoleh pelbagai pengiktirafan, pada Sayyid Qutb, adalah sia-sia, mengotorkan usia, dan tiada keberkatannya. dan hanya dengan kembali kepada kehidupan fitrah di bawah bayangan Al-Quran, beliau merasakan bahawa usianya disucikan, diberkati dan dibersihkan Robbul 'Izzati.

saya melihat rakan-rakan bermain game dalam facebook; ini musim demam facebook. merata-rata orang sedang berfacebook, ada yang sedang dating online, ada yang sedang berjual beli kawan dan haiwan kesayangan, ada yang sedang berbisnes restoran. oh, apakah ini ? saya yang tidur bangun tidur bangun saban hari tanpa melaksanakan ibadah dan bekerja sebagai khalifah, betapa sia-sianya. saya yang pergi kelas dengan semangat tinggi menggunung, sebab saya suka belajar, sebab saya mahu mencari kedudukan yang baik, sebab mahu mencari redha manusia, oh alangkah ruginya. semua perkara di atas, inputnya adalah masa (usia) + tenaga + harta, tapi outputnya = 0 . saya tidak membungkus apa-apa sebagai amalan.

dalam kehidupan sebagai orang muda dalam zaman yang serba terbuka ini, alangkah susah untuk menolak nafsu (desire, kemahuan) sendiri yang cantik pada pandangan mata dan hati yang buta. susah untuk menolak logik akal sendiri yang dirasakan bernas bangat. susahnya untuk meluruskan i'tikad sendiri, walau atas perkara kebaikan seperti belajar, selain hanya lillahita'ala. betapa susahnya untuk menolak segalanya, kecuali hanya Dia.

hanya orang yang hidup di bawah bayangan Al-Quran beroleh kenikmatan yang sejati; yakni hati yang tenang ibarat salji, damai sedamai pantai,lapang selapang padang pasir, tenteram setenteram orang-orang yang mempunyai cinta.

dan Allah menyeru kepadanya;

Wahai jiwa yang tenang !
Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha dan diredhaiNya.
Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hambaKu,
dan masuklah ke dalam syurgaKu...
Surah Al-Fajr [89:27-30]

Aduhai diri yang tidak tenang, kenapa tidak hidup di bawah petunjuk Tuhan ? Tuhan akan melimpahkanmu dengan ketenangan, dan Dia akan redha denganmu, dan kau juga akan redha padaNya, dengan meredhai segalanya. sudah diberikanNya tenang, Dia menjemputmu ke syurgaNya yang maha indah. maka diri yang tidak tenang itu, apakah ada tempatnya di syurga ?

Sunday, 8 March 2009

Maulidurrasul

Alhamdulillah, hari Maulidurrasul telah tiba. Kita sepatutnya ternanti-nanti Maulidurrasul berbanding hari lahir kita atau ibu bapa atau suami isteri kita. Kerana tidak sempurna iman seseorang di antara kalian sehingga dia mencintai Rasulullah berbanding dirinya sendiri sekalipun.

Rasulullah s.a.w. wajib dicintai selepas Allah. Kalau tidak dinyatakan sekalipun, seharusnya kita patut mencintai Rasulullah s.a.w. Ini kerana Rasulullah s.a.w. itu adalah kekasih Allah. Kalau kita cintakan Allah, kita mestilah cintakan kekasih-Nya. Macam syariat yang menyuruh kita mencintai sahabat-sahabat ibu bapa kita jugalah...

Tak kenal maka tak cinta..

Rasulullah s.a.w. membawa petunjuk dan rahmat kepada seluruh alam. Bayangkan apa jadi kepada kita jika tiada Rasul yang membawa risalah Allah kepada umat kita. Tanpa pengorbanan, keimanan, keutuhan, istiqamah, semangat, akhlak, keberanian dan lain-lain yang ada pada Baginda itu, mungkin kita di Tanah Melayu tidak menerima Islam. And we are NOTHING without Islam.

Islam itu terbit dan ditunjukkan dalam diri Rasulullah s.a.w. itu sendiri. Kehidupan Rasulullah s.a.w. itu adalah intipati kehidupan Islam yang sebenar. Baginda ialah the moving Al-Quran.

Lihatlah cinta sahabat kepada Rasulullah s.a.w. Setelah Rasul wafat, mereka menangis-nangis kerana merindui Baginda. Mereka merebut-rebut air basuhan wudu' Baginda. Mereka menadah peluh Baginda yang wangi itu untuk keberkatan. Semuanya atas dasar iman dan cinta.

Baginda manusia yang paling sempurna akhlaknya. Baginda adalah orang yang paling berpengaruh dan sehingga kini tiada tandingan. Baginda juga mencintai kita semua. Baginda sempurna, Subhanallah.

Menjadi kewajiban kita antaranya untuk:
1. Mengimani Baginda.
2. Mencintai Baginda.
3. Mengagungkan Baginda.
4. Membela Baginda.
5. Mencintai orang yang mencintai Baginda.
6. Mengikuti sunnah Baginda.
7. Berselawat ke atas Baginda.
8. Mengikuti dan menyambung risalah Baginda.

Contohnya Saidina Abu Bakar r.a. Beliau percaya pada cerita isra' mikraj Rasulullah s.a.w. tanpa sebarang ragu-ragu. Sedangkan perkara begitu sangat impossible jika difikirkan hanya dengan batas akal manusia biasa. Sedangkan dari Mekah ke Al-Aqsa pun mengambil masa perjalanan lebih kurang dua hari. Inikan pula satu malam sahaja malah naik ke langit dunia! Hebatnya iman Saidina Abu Bakar r.a. kepada Allah dan Rasul-Nya. Patutlah beliau digelar dengan gelaran 'As-Siddiq'.

Bolehkah iman kita jadi seperti itu?
Ambillah kesempatan hari ini untuk mengenali Baginda. Kenalilah Rasulullah s.a.w. maka akan terbit rasa cinta.