Pages

Thursday 18 October 2007

graf emosi


Graf emosi

Mula-mula saya lukiskan paksi graf. Di paksi y adalah 'emosi saya' dan di paksi x adalah 'usia'. Selepas itu saya plotkan perasaan overall saya bagi setiap tahun. Walaupun bentuk grafnya buruk (mungkin kerana barisan plot yang tidak cantik atau kerana tangan tak berseni), tapi hasilnya memang memberi kesan dalam diri.

Menilai semula mengapa kita sedih atau gembira atau tiada perasaan bagi setiap tahun, dapat mengimbau semula kisah-kisah silam yang indah dan tak indah. Pada awal usia, saya plotkan gembira kerana saya masih kanak-kanak ketika itu. Jadi saya andaikan hidup saya ketika itu penuh dengan kegembiraan, jauh daripada tanggungjawab dan tugasan.

Melihat tahun-tahun yang menyedihkan, mungkin kerana ada kematian atau kisah yang memberikan kesan yang mendalam dalam diri. Namun, kebanyakannya kerana saya sedih apabila membayangkan kembali hidup saya ketika itu. Bukan marah pada sesiapa, tetapi diri sendiri kerana memiliki sikap yang tidak matang dan bermain-main. Saya andaikan diri saya pada ketika itu seorang yang teruk.

Mengapa kita menganggap tahun itu menyedihkan? Sedangkan ketika itu kita sangat gembira dengan diri kita. Mengapa ya?

Ini kerana syaitan telah meletakkan perasaan yang salah dalam hati kita ketika itu. Kita berasa gembira walaupun melakukan perkara-perkara yang salah. Dan sekarang, kita sedih kerana sekarang kita tahu Allah marah pada diri kita ketika itu. Maka, tahun itu dianggap tahun yang menyedihkan walaupun kita gembira pada waktu itu.

Melalui graf ini, kita dapat menilai tahap perubahan dalam diri kita dan dapat menjadikan diri kita insan yang lebih baik. Serta-merta kita akan mengelakkan tahun itu menjadi tahun yang 'menyedihkan' supaya bentuk graf kita lebih cantik. Maka dengan itu, harap-harap nilai plot graf makin menaik ke atas kerana kita melakukan perkara yang Allah sukai. =)