Pages

Saturday 22 August 2009

warkah ramadhan


Allahu Robbi,

Sunggguh aku tak sangka dan aku masih tak percaya; Ramadhan datang lagi. Pada hamba yang penuh noda, saat penyucian sudah tiba. Terasa-rasa, bagai terlihat-lihat pintu keberkatanMu Kau buka. Bagai ternampak rahmat dan kasih sayangMu turun dari langit; bagai dijunjung malaikat yang berarak bernyanyi riang. Ini bulanMu, bulan rahmat dan kasih sayangMu.

Allahu Robbi,
Alhamdulillah, segala puji bagiMu atas kurniaan ini; satu bulan tanda kasihMu kerana kami bukan ummat yang panjang usia seperti ummat terdahulu. Segala puji bagiMu yang memberi kami peluang, dan keringanan untuk menggandakan amal. Manakan, amalan sunat sama ganjarannya dengan amalan wajib, amalan wajib digandakan ganjarannya 70 kali ganda. Kiranya jika aku senyum dan memberi salam pada sahabatku, aku sudah beroleh pahala solat dalam bulan-bulan biasa, MasyaAllah…

Allahu Robbi,

Namun Kau tahu hati kami gentar. Kami lemah Tuhanku, dan Ramadhan ini terlalu senteng dan pantas berlari. Kami takut tak terkejar, bila dunia juga sentiasa mengejar. Kami takut Ramadhan ini masih sama dengan Ramadhan terdahulu. Kami gusar jika Ramadhan ini kami masih gagal pulang ke fitrah, langsung gagal untuk kembali menemuiMu…

Allahu Robbi,

Berilah kami kekuatan, kerana kekuatan hanya padaMu. Kami panjatkan doa; anugerahilah kami dan seluruh insan di sisi kami, dan seluruh insan yang kami cintai, taufiq dan hidayahMu, dengan barakah Ramadhan al-Mubarak ini; bulan yang mana Engkau maqbulkan doa hamba-hambaMu yang berdoa.

Amin.

Taqabbal Allahu minna wa minkum
...


Tuesday 4 August 2009

saya racist ?

Dilabel sebagai mengamalkan ‘racial bias’ atau ‘being racism’ , mulanya ada sedikit rasa tidak enak. Tetapi selepas difikirkan balik, saya tergelak seorang diri. Lucu rupanya dipanggil ‘racist’. Lucunya ialah pada orang yang tampak begitu intelek dan berfikiran terbuka dan global, tapi rupanya dalam sesetengah aspek masih belum cukup matang dan tidak dapat menerima orang lain seadanya.


Apa itu ikhlas? Apa itu melakukan sesuatu hanya kerana Allah?


Orang sering berkata, mencintai seseorang kerana Allah, atau bersahabat hanya kerana Allah. Tapi, benarkah? Bagaimanakah mencintai kerana Allah? Adakah mencintai Allah terlebih dahulu, kemudian mencari apa-apa yang dicintaiNya, dan mencintai perkara tersebut walau ia bukan yang kita cintai? Ataukah mencintai kerana cinta itu dari Allah, kemudian bercinta berlandaskan jalan Allah?


Bagaimana bersahabat kerana Allah? Adakah dengan memilih orang yang Allah sukai, kemudian merapati dan mengasihinya? Ataukah mengasihi sahabat-sahabat di sekeliling seadanya kerana Allah menyuruh kita saling berkasih sayang dan menjalin ukhuwwah?


Orang berkata, saya ikhlas bersahabat dengan awak; saya tak perlukan sebarang balasan. Tapi, bukankah bila kita menghulurkan salam persahabatan, kita mengharapkannya bersambut? Bila kita menganggap kawan itu sebagai sahabat, fitrahnya kita juga mengharapkan dia menganggap kita sebagai sahabat. Bila kita menghargai dan menghormati, kita juga berharap untuk dihargai dan dihormati.


Umumnya ikhlas pada pegangan manusia ialah, tidak dilandasi oleh harta benda, pangkat, status, rupa, IQ dll. But at the end, we still want to regain from what we spend; in case of relationship, it is companionship.


Relakah, menjadi sahabat tapi tidak dianggap sahabat?


Menemani tapi ditinggalkan?

Menghormati tapi direndahkan?

Memberi tapi dilupakan?

Menyayangi tapi diabaikan?


Sungguh, ikhlas itu lebih daripada menjadi lilin. lilin, membakar diri, tapi akan kehabisan. Sedang sumber untuk melakukan pembakaran, yakni oksigen, tidak pernah terhad. Lilin yang menerangi gelap, tapi cahayanya terlalu menuntut perhatian, dan terlalu bertumpu pada satu titik.


Ikhlaslah, seperti lampu pendarfluor yang selalu tidak disedari.


Innamal a`mal lu binniat. Berhijrah kerana perempuan, maka perempuan yang kamu peroleh. Bersahabat kerana teman, maka companionship yang kamu peroleh.


Sungguh seni ikhlas ini amat berat.


Sedikit dendam bercambah di hati saya. Saya hampir memutuskan untuk mengabaikan dia, sebelum saya teringat bahawa saya tidak bersahabat dengannya kerana dia mahu bersahabat dengan saya (^_^)