Pages

Saturday 23 May 2009

di bawah bayangan

Kata-kata awal As-Syahid Sayyid Qutb di dalam muqaddimah fi zilalil qurannya;

Hidup di bawah bayangan Al-Quran adalah suatu kenikmatan yang tidak dapat diketahui melainkan hanya oleh mereka yang mengecapinya sahaja. Ia adalah suatu kenikmatan yang meluhur, memberkati dan membersihkan usia seseorang.

Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah yang telah mengurniakan kepadaku kenikmatan hidup di bawah bayangan Al-Quran selama beberapa waktu, di mana aku telah mengecapi nikmat yang tidak pernah aku kecapi sepanjang hidupku, iaitu nikmat yang meluhur, memberkati dan membersihkan usiaku.

Di pagi yang indah di bumi Sunway, dimulakan dengan tilawah Suratul Fajr, sebagai meraikan waktu pagi. kami teruskan kemudiannya dengan diskusi muqaddimah zilal; yang masih terngiang-ngiang sampai saat ini, yang memaksa saya untuk mencatat sesuatu tanpa cuma berdiam diri.

As-Syahid, merupakan hamba Allah yang dianugerahkan nikmatNya, untuk hidup dalam lembayung Al-Quran. Awal-awal dahulu, saya mentafsirkan pernyataan ini sebagai; sentiasa hidup bersama Al-Quran, selalu membaca Al-Quran dan sentiasa mengamalkannya. tapi semakin masa berlalu, insyaAllah kefahaman juga semakin dewasa. Al-Quran itu tidak lain, adalah Kalamullah, wahyu dari Allah, yakni kata-kata Allah yang disampaikan kepada hambaNya Muhammad melalui perantaraan malaikatNya Jibril. dan tidak lain kalam itu disampaikan kepada Muhammad, sebagai perantaraan untuk disampaikan kepada umat manusia seluruhnya.

hidup yang di bawah lembayung Al-Quran, tidak lain adalah hidup di bawah pedoman daripada Al-Quran, yang tidak lain adalah merupakan petunjuk yang langsung berasal dari Robbul 'Alamin. maka jalan manakah lagi yang membawa kepada keredhaan Allah, selain jalan yang telah ditunjuki olehNya sendiri ?

As-Syahid berkata; kenikmatan ini tidak akan dapat pernah dirasai kecuali oleh orang yang melaluinya sahaja; yakni tidak ada orang yang dapat merasakan kenikmatan hidup yang lebih besar daripada kenikmatan kehidupan yang bersandarkan bimbingan dan petunjuk daripada Allah.

As-Syahid Sayyid Qutb ini pada zaman jahiliyahnya adalah seorang sasterawan terulung, yang banyak melahirkan karya yang berkualiti.beliau berkarya dalam keadaan sedar (under concious mind), hasil minat peribadi, bakat yang ulung, dan luahan perasaan yang mendalam. beliau disanjung sebagai sasterawan dan ilmuwan yang diiktiraf negara dan masyarakat.maksudnya, Sayyid Qutb ini adalah seorang sasterawan yang biasanya berjiwa sangat sensitif, beliau hidup dalam lingkungan yang benar-benar menjadi minatnya dengan bakat yang mengalir dalam darahnya, seterusnya dia beroleh pengikitirafan yang besar daripada hasil kerjanya. maka, bagi seorang manusia, apakah kepuasan yang lebih besar daripada ini ?

seorang engineer yang sangat menggilai reka cipta, dengan bakat yang besar dalam dirinya, menghasikan produk yang sangat inovatif dan berkualiti tinggi, seterusnya meraih sanjungan dan penghargaan hasil titik peluhnya. apakah lagi yang diinginkannya ?

oh, rupanya tidak. rupa-rupanya masih ada kenikmatan yang lebih besar daripada itu, yang tidak dapat diketahui oleh orang yang tidak hidup selain berpandukan petunjuk Allah semata-mata, dengan menolak keinginan nafsu sendiri dan logik akal yang banyak lompong kelemahannya.

hidup selama 40 tahun dalam dunia sastera beliau, selepas penghasilan pelbagai karya dan memperoleh pelbagai pengiktirafan, pada Sayyid Qutb, adalah sia-sia, mengotorkan usia, dan tiada keberkatannya. dan hanya dengan kembali kepada kehidupan fitrah di bawah bayangan Al-Quran, beliau merasakan bahawa usianya disucikan, diberkati dan dibersihkan Robbul 'Izzati.

saya melihat rakan-rakan bermain game dalam facebook; ini musim demam facebook. merata-rata orang sedang berfacebook, ada yang sedang dating online, ada yang sedang berjual beli kawan dan haiwan kesayangan, ada yang sedang berbisnes restoran. oh, apakah ini ? saya yang tidur bangun tidur bangun saban hari tanpa melaksanakan ibadah dan bekerja sebagai khalifah, betapa sia-sianya. saya yang pergi kelas dengan semangat tinggi menggunung, sebab saya suka belajar, sebab saya mahu mencari kedudukan yang baik, sebab mahu mencari redha manusia, oh alangkah ruginya. semua perkara di atas, inputnya adalah masa (usia) + tenaga + harta, tapi outputnya = 0 . saya tidak membungkus apa-apa sebagai amalan.

dalam kehidupan sebagai orang muda dalam zaman yang serba terbuka ini, alangkah susah untuk menolak nafsu (desire, kemahuan) sendiri yang cantik pada pandangan mata dan hati yang buta. susah untuk menolak logik akal sendiri yang dirasakan bernas bangat. susahnya untuk meluruskan i'tikad sendiri, walau atas perkara kebaikan seperti belajar, selain hanya lillahita'ala. betapa susahnya untuk menolak segalanya, kecuali hanya Dia.

hanya orang yang hidup di bawah bayangan Al-Quran beroleh kenikmatan yang sejati; yakni hati yang tenang ibarat salji, damai sedamai pantai,lapang selapang padang pasir, tenteram setenteram orang-orang yang mempunyai cinta.

dan Allah menyeru kepadanya;

Wahai jiwa yang tenang !
Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha dan diredhaiNya.
Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hambaKu,
dan masuklah ke dalam syurgaKu...
Surah Al-Fajr [89:27-30]

Aduhai diri yang tidak tenang, kenapa tidak hidup di bawah petunjuk Tuhan ? Tuhan akan melimpahkanmu dengan ketenangan, dan Dia akan redha denganmu, dan kau juga akan redha padaNya, dengan meredhai segalanya. sudah diberikanNya tenang, Dia menjemputmu ke syurgaNya yang maha indah. maka diri yang tidak tenang itu, apakah ada tempatnya di syurga ?