Pages

Wednesday 25 June 2008

Antara kita dan mereka

وَهَدَيْنَاهُ النَّجْدَيْنِ فَلَا اقْتَحَمَ الْعَقَبَةَ
Dan kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan. tetapi kenapa dia tidak menempuh jalan yang mendaki dan sukar?
(Al-Balad; 90:10-11)
Alhamdulillah, banyak masa lapang. Semoga masa ini dipenuhi dengan perkara berguna yang membawa barakah, insyaAllah.

Di saat-saat tak punya kerja ini, rajin pula saya melayari internet. Tak ada yang hendak dicari, cuma masuk je mana-mana link yang berkenan di mata. Blog pelbagai jenis manusia saya masuk, dari muslim ke blog mereka yang non-muslim. Tatkala singgah ke satu blog seorang hamba Allah ini (non-muslim), darah saya tersirap. Hamba Allah ini seorang perempuan, dan blognya penuh dengan gambar-gambarnya dalam pelbagai aksi menggoda. Mungkin perkara biasa di kalangan mereka, tapi saya terkejut. Gambar-gambarnya bersama teman-teman, di parti-parti, dan juga sewaktu mereka menghadiri konsert. Ceritanya sewaktu menghadiri konsert tersebut, umat manusia memang sangat ramai. Berhimpit-himpitan hingga sesak nafas, tambah-tambah lagi waktu mereka terkinja-kinja menari; nasib baik dia tidak mati dipijak. Akhir sekali ada gambarnya sewaktu menghadiri satu parti pantai. Saya pula yang sesak nafas melihatnya. Mereka berbikini, bergambar bersama-sama lelaki dan perempuan. Satu link forum dalam blognya saya bukak, forum berkenaan pesta pantai tersebut. Sekali lagi sesak nafas. Forum itu cuma diramaikan oleh lelaki, dengan topik perbualannya, kamera. Camera with zoom lens untuk dibawa ke pantai, untuk capture gambar ‘hot chicks’ yang berbikini.... saya terus keluar, enough.

Keluar sekejap untuk ambil angin, saya mengenakan jaket dan tudung. Tanya seorang teman;
“ Nak ke mana bersiap ni?”
“ Ambil angin jap, jalan-jalan kat bawah. ”
“ Amboi, lawonya gi amik angin. Ingatkan nak gi makan angin.”
Saya sengih. Saat keluar dari pintu rumah, satu perasaan kesyukuran yang amat sangat muncul. Saya lafazkan Hamdalah. YaAllah, betapa Kau muliakan aku. YaAllah, betapa Kau memuliakan para muslimah. Antara jutaan umat manusia di luar sana, Alhamdulillah aku salah satu yang Kau pilih untuk dijaga YaAllah. Betapa besar rahmatMu, rahmat yang jarang ternampak oleh kita yang buta. Waktu itu, memang terasa jelas perbandingan antara islam dengan bukan islam. Dan itulah sebabnya kenapa Allah menciptakan perkara fahsya’ , sebagai perbandingan kepada yang ma’aruf. Maha Suci Allah yang Maha Kaya.

Dulu kami pernah ditanya, kenapa Allah Yang Maha Pengasih lagi Penyayang itu menciptakan orang kafir, yang tempatnya kelak di neraka selama-lamanya, jika Dia itu benar-benar Maha Penyayang. Kenapa juga diciptakan syaitan yang direjam, yang menyesatkan manusia . Kenapa tidak saja diberikan hidayahNya buat seluruh manusia, juga iblis dan syaitan ? Kenapa?????? Waktu itu saya kelu untuk menjawabnya, tapi sekarang saya sudah punya jawapan. Itulah bukti Allah itu Maha Kuasa, Dia berkuasa untuk menciptakan perkara ma’ruf , dan Dia juga berkuasa menciptakan perkara mungkar, sebagai satu perbandingan. Seperti juga diciptakan yang buruk, sebagai perbandingan kepada yang baik. Teringat satu dialog dengan seorang sahabat (lelaki);
“Betulke, lelaki suka tengok perempuan cantik?” Tanya saya. Dia seorang lelaki yang baik, wara’ dan alim, jadi saya tertanya-tanya apa jawapannya.

“ Manusia mana yang tak suka pada kecantikan, itukan fitrah. Tambah-tambah lelaki yang diciptakan Allah punya hanya satu nafsu. Tapi kecantikan tu hanya perbandingan kepada apa yang tak cantik, supaya kita bersyukur. Selebihnya tepuk dada, tanya iman,”

Saat berjalan-jalan melihat alam itu, bagaikan terdengar seruanNya, ‘Wahai manusia, bersyukurlah !’
Perbandingan itu suatu kejadianNya yang diciptakan, sebagai ujian dan rahmat kepada orang-orang yang beriman, supaya mereka bersyukur. Tepuk dada, tanyalah iman.......

وَنَفْسٍ وَمَا سَوَّاهَا فَأَلْهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقْوَاهَا
قَدْ أَفْلَحَ مَن زَكَّاهَا وَقَدْ خَابَ مَن دَسَّاهَا
demi jiwa serta penyempurnaannya, maka Dia mengilhamkan kepadanya (jalan) kejahatan dan ketaqwaannya. Sungguh beruntung orang yang menyucikannya (jiwa itu), dan sungguh rugi orang yang mengotorinya.
(As-Syams; 91:7-10)

No comments: