Pada suatu hari, Puteri bangun dari tidur dengan mata yang basah. Entah mimpi apa gerangannya yang menyedihkan Tuan Puteri sehingga air matanya turut melimpah apabila terjaga. Puteri kerap bermimpi sedih kerana hidupnya kesepian. Hidup sebagai seorang Tuan Puteri bukanlah hebat sangat sebagaimana yang diidamkan gadis-gadis kebanyakan. Tuan Puteri terkurung di istana besar tapi tertutup daripada udara luar. Tuan Puteri terasa sesak. Mungkin kali ini mimpinya lebih sedih daripada mimpi-mimpinya yang biasa. Namun, Tuan Puteri gagal mengingat apa mimpinya tadi.
Menjelang tengah hari, keadaan Tuan Puteri menjadi luar biasa. Air matanya tetap mengalir dari mata kirinya. Maka, Tuan Puteri kelihatan seperti seorang yang sedang bersedih walaupun hakikatnya dia sedang bergembira. Air mata dari mata kiri Tuan Puteri tetap mengalir sehinggalah malam menjelma. Tuan Puteri menjadi gelisah dan sedih di atas kejadian pelik yang menimpa dirinya itu. Dia pun mengadu kepada bondanya, Si Permaisuri.
"Mungkin, anakanda sudah lama tidak menangis. Maka, simpanan air mata anakanda menjadi penuh dan melimpah," kata bondanya.
Apabila hal ini ketahui oleh ayahanda Tuan Puteri, baginda lantas menitahkan agar penghibur istana menghadap. Malam itu, Tuan Puteri dihiburkan dengan pelbagai ceritera dan penghibur sukma. Namun, air mata Tuan Puteri masih tetap mengalir.
"Mungkinkah penyakit anakanda ini perlu diubati tabib?" Fikir Si Raja.
Maka baginda pun menitahkan agar seluruh tabib datang menghadap. Pelbagai cara dan usaha telah dilakukan untuk mengubati Tuan Puteri tetapi usaha mereka gagal belaka. Malah, tabib diraja juga sudah gagal terlebih dahulu. Jadi, keesokan harinya Raja menitahkan bahawa jika ada sesiapa sahaja di negara itu yang mampu mengubati Tuan Puteri, baginda ada mengurniakannya dengan kurniaan yang besar.
Mendengarkan titah itu, beratur panjanglah rakyat jelata di hadapan istana bagi mencuba nasib untuk mengubati Tuan Puteri. Ada yang menyanyi, berseloka, menari, menjampi, dan turut ada yang mempersembahkan makanan yang lazat belaka bagi mengembalikan keceriaan mata Tuan Puteri. Namun, tiada satu keberhasilan yang berlaku sehingga seluruh istana berasa dungu.
Sampailah giliran seorang budak lelaki yang muda dan bercahaya. Raja bertanya padanya, apakah yang dia boleh mengubati Tuan Puteri. Lantas dia menjawab, "Boleh, dengan izin Tuhanku". Raja pun berasa aneh dengan jawapan si budak, lalu baginda bertanya,
"Siapakah kamu?"
"Aku hamba Allah."
"Apakah Tuhanmu boleh mengubati puteriku?"
"Boleh, jika Tuhanku kehendaki."
"Bagaimana caranya?" Tanya Raja lagi.
Lalu si budak duduk melutut dan bersujud serta mengangkat tangan untuk berdoa. Tidak lama selepas itu, air mata Tuan Puteri berhenti mengalir. Lalu seluruh warga istana bersorak meraikan terubatnya penyakit Tuan Puteri. Sorakan itu tidak lama kerana tiba-tiba air mata Tuan Puteri mengalir lagi. Kali ini, lebih banyak dari kedua-dua matanya. Maka Si Raja pun berang dah murka kepada si budak. Namun, baginda dihalang Tuan Puteri dan dia berkata,
"Wahai ayahanda, sebenarnya mata anakanda sudah terubat dengan perlakuan si budak itu. Yang anakanda tangis ini tidak lain hanyalah kerana harunya anakanda kepada kuasa Tuhan budak itu. Rupa-rupanya penyakit anakanda itu disebabkan lamanya anakanda kehilangan hati. Sekarang, anakanda ini menangis kerana merindukan Tuhan budak itu. Ayahanda ketahuilah bahawa anakanda bersaksi bahawa Tuhan budak itu benar." Tuan Puteri menangis teresak-esak.
Melihat kejadian itu, Raja turut menangis teresak-esak. Kemudian, Raja dan Permaisuri, seluruh istana serta rakyat jelata turut bersaksi akan kekuasaan Tuhan. Sehingga berkurun-kurun lamanya, seluruh rakyat di pelusuk negara itu bersujud kepada Allah sejak berlakunya kisah Tuan Puteri dan si budak.
No comments:
Post a Comment