Pages

Friday, 30 January 2009

Seni Al-Quran: Babak-Babak An-Naba'

Pernahkah anda terfikir bahawa Al-Quran itu sungguh berseni? Bahasa Arab yang digunakan juga adalah Bahasa Arab yang mendalam sehinggakan ketika Rasulullah membacakan ayat-ayat Al-Quran di hadapan orang-orang kafir Quraisy, mereka menjadi bingung kerana isi kandungan Al-Quran yang tinggi sasteranya melebihi syair-syair mereka. Malah, mereka juga tidak faham akan sasteranya. Mungkinkah kita orang melayu patut merasa cukup faham setelah hanya membaca tafsir ayat untuk memahami isi kandungan Al-Quran? Macam tidak.

Tertanya-tanya tentang berita yang besar

Contoh mudah, di dalam Surah An-Naba', jika diteliti di dalam seluruh surah tersebut terdapat peringkat-peringkat cerita. Contohnya, ayat 1 sampai 5 adalah dalam satu babak iaitu tentang satu khabar berita besar. Kemudian, babak ceritanya seolah-olah tergantung kerana ayat 6 sampai 16 disambung dengan babak lain iaitu tentang kejadian-kejadian alam. Begitu juga dengan babak-babak seterusnya pula iaitu tentang hari kebangkitan, diikuti tentang neraka dan syurga.

Ayat 1-5 di dalam Surah An-Naba':

"Tentang apakah mereka saling bertanya-tanya? Tentang berita yang besar (hari berbangkit), yang dalam hal itu mereka berselisih. Tidak! Kelak mereka akan mengetahui. Sekali lagi tidak! Kelak mereka akan mengetahui."

Penggunaan nada yang betul memang penting untuk menentukan maksud. Contohnya di dalam ayat pertama, Allah menyoal dengan menggunakan perkataan 'AMMA berbanding MA- kerana penggunaan 'AMMA lebih bermaksud seperti menyindir. Jadi, soalan Tentang apakah mereka saling bertanya-tanya? adalah soalan menyindir. Lihat, satu kelebihan bahasa arab berbanding bahasa melayu. Nadanya boleh ditentukan melalui perkataan. Kalau tadi kita hanya melihat tafsiran melayu sahaja, mungkin kita akan membaca ayat pertama sebagai satu soalan pertanyaan biasa, Tentang apakah mereka saling bertanya-tanya? seperti soalan ingin tahu.

Kemudian disambung dengan ayat 6-16 untuk babak kedua:

"Bukankah Kami telah menjadikan bumi sebagai hamparan, dan gunung-gunung sebagai pasak? Dan Kami menciptakan kamu berpasang-pasangan, dan Kami menjadikan tidurmu sebagai istirehat, dan Kami menjadikan malam sebagai pakaian, dan Kami menjadikan siang untuk mencari penghidupan, dan Kami membangun di atas kamu tujuh (langit) yang kukuh, dan Kami menjadikan pelita yang terang-benderang (matahari), dan Kami turunkan dari awan, air hujan yang tercurah dengan hebatnya, untuk Kami tumbuhkan dengan air itu biji-bijian dan tanam-tanaman, dan kebun-kebun yang rendang."

Di dalam ayat 6, Allah menggambarkan bumi sebagai 'al-mihada' (hamparan). Sifat bumi yang menghampar ini merupakan satu kurniaan besar daripada Allah. Seperti seorang ibu menghamparkan karpet di atas lantai yang panas disimbah cahaya matahari. Di atas karpet itulah si anak boleh duduk dengan aman untuk membuat apa sahaja. Maka, seperti itulah juga rahmannya Allah yang menghamparkan bumi di atas magma yang panas untuk memberi kehidupan. Tanpa bumi, tiada penghidupan. 'Al-mihada' juga bermaksud buaian yang membawa sifat keseronokan dan keasyikan. Ya, itulah sifat bumi.


Begitu juga dengan kurniaan Allah seperti gunung, pasangan, tidur, malam, siang, langit, matahari, hujan dan tanam-tanaman. Ayat-ayat ini bukan hanya menyatakan bahawa semua ini ciptaan Allah malah juga menyatakan bagaimana manusia memanfaatkannya dan berinteraksi dengannya (alam). Jadi, ayat-ayat ini juga menunjukkan bahawa interaksi-interaksi antara manusia dan alam ini juga adalah ciptaan Allah. Hebat bukan? Subhanallah.

Maka. tertunjuklah bahawa alam ini ada pengaturan dan pengurusannya. Ada monitornya (Allah) yang mencipta bukan untuk tujuan sia-sia sahaja.

Berbalik kepada persoalan babak satu yang kelihatan tergantung tadi dan disambung pula dengan babak dua (ayat 6-16) yang seperti tak berkaitan di antara satu sama lain. Kemudian, baru disambung dengan ayat 17 yang ada kaitan dengan babak 1 tadi. Untuk melihat perkaitan antara babak, mari cuba bayangkan satu contoh yang lebih kurang:

Pada suatu hari, anda dan beberapa orang pelajar lain sedang berbincang-bincang tentang peperiksaan yang hampir tiba. Anda semua berbalah-balah tentang soalan peperiksaan yang bakal dikeluarkan. Mungkinkah topik 1? Atau 2? Atau 3? Anda semua hanya membuat pengamatan sendiri dan berselisih pendapat.



Tiba-tiba guru yang membuat soalan peperiksaan anda datang tanpa disedari. Beliau menggeleng-geleng kepala sambil berkata, 'Tidak! Kelak kamu akan mengetahui.' Paling meyakinkan -beliau berkata lagi, 'Sekali lagi tidak! Kelak kamu akan mengetahui.' Apa fikiran anda ketika itu? Mungkinkah anda tertanya-tanya, 'Betulkah?'
(seperti Babak 1)

Kemudian beliau berkata, 'Bukankah saya yang bagi tutorial kepada kamu? Dan saya bagi buku teks kepada kamu, dan saya yang tunjukkan penyelesaian, dan saya yang ajar dan beri nota? Untuk kamu faham dan belajar?'
(seperti Babak 2)

Katanya lagi, 'Sungguh, akan tiba hari penilaian (exam) tentang sejauh mana kefahaman kamu. Hari itu adalah hari yang telah ditetapkan. Hari itu, kamu datang berbondong-bondong ke dewan peperiksaan. Hari itu, buku teks diletak di tepi dan tidak berguna lagi.'
(seperti Babak 3)

Begitulah. Sememangnya ada perkaitan di antara babak-babak.

p/s: Baru sedikit daripada satu surah pendek. Nampaknya kami kena mendalami Al-Quran lagi.

No comments: