Pages

Sunday, 18 July 2010

menCINTAi ALLAH yang ESA

Ke mana kamu sayang?

Bismillah, dengan menyebut nama Allah, Rabku.

Seorang yang saya sayang bertanya perihal hati – cinta. Sejujurnya persoalan hati ini amat payah untuk diolah – kerana semuanya dari Tuhan, dan berbalik kepadaNya. Saya terdiam dan termenung, berfikir apa jawapan untuk persoalannya. Sejujurnya, sehingga ke saat ini saya masih berfikir tentangnya, yang kadang-kadang membuat hati saya sendiri berbolak-balik dalam ruang yang gelap dan cerah, sehingga mahu menangis tetapi tiada air mata.

Alangkah, jika hati senang diurus – bila disuruh sayang, ia menyayangi. Bila disuruh benci, ia membenci. Bila disuruh percaya, ia percaya. Tetapi bukan begitu fitrah urusan hati.

Pernahkah kalian punya pengalaman mendengar bisikan-bisikan halus dalam diri sendiri? Bisikan-bisikan yang timbul tenggelam. Saya mahu berkongsi satu pengalaman menakutkan sewaktu di sekolah rendah dulu. Sewaktu belajar sirah Nabi Muhammad SAW, saya tertarik dengan nama dua berhala utama yang ada disebutkan di dalam Al-Quran; yakni Al-Latta dan Al-Uzza. Dua nama ini berlegar-legar dalam kepala. Seperti ada bisikan berkata; ‘Berimanlah kepada Al-Latta dan Al-Uzza!’. Saya sangat takut waktu itu. Nama mereka terngiang-ngiang dan saya terpaksa selalu mengulang kalimah syahadah untuk melawan bunyi-bunyian itu. Soalnya, saya sangat tahu yang terkutuk itu adalah 2 buah berhala, dan ada Allah Yang Esa bersama saya, tetapi suara bisikan itu tetap tidak dapat dihilangkan. Saya berdoa dan berharap supaya waktu itu cepat berlalu. Alhamdulillah, selepas beberapa waktu hal ini berakhir.

Apabila ada yang bertanya, ‘Macam mana mahu mencintai Allah?’ – oh, sungguh perit bagi saya. Bukan soalan itu yang perit, tetapi apa-apa yang sedang kamu lalui memeritkan saya. Bagaimana saya mahu memegang hati kamu dan memberikannya rasa cinta? Sedang yang saya punya juga adalah setipis kulit bawang?

Apabila dia berkata, ‘Hebatnya yang boleh berkata, aku cintakan Allah,’ ...Pedihnya hati saya. Bagaimana bisa saya bantu kamu untuk mencapai cinta Allah, sedangkan ia adalah sebuah ‘CINTA’ ?

Alangkah, jika semua orang mempunyai cinta kepada Rabnya, maka semuanya akan tunduk dan patuh kepadaNya, semuanya akan menjadi golongan beriman, dan semuanya akan beroleh balasan kebaikan.

Maka adikku, di situlah letaknya nilai mujahadah – mujahadah untuk tidak pernah putus asa dari mengharap rahmah dan belasNya. Mujahadah untuk tidak lekang berdoa supaya Allah melimpahkan mahabbahNya di dalam hati kita, hingga kita mampu mencintaiNya lebih daripada mencintai diri sendiri. Betapa, kalau kamu tahu apa yang perlu dikorbankan untuk memahami erti cinta Allah itu. Maka oleh itu, berkorbanlah, bermujahadahlah atas namaNya.
Maka katakanlah :

قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ
Katakanlah : Allah itu Maha Esa


Dihuraikan dalam tafsir Fi Zilalil Quran – berkata bahawa Allah itu Esa adalah meyakini bahawa hanya Dia Tuhan yang layak disembah, tiada yang lain selainnya. Yakin Allah itu Esa, maka yakin bahawa Dia itu bersifat Wujud, Dia ada sejak azali, dan tiada pengakhiranNya, dan segala maujud yang kita lihat, dengar, rasa, dan bau adalah mengambil sifat kewujudan daripadaNya. Segala maujud adalah bersandar kepada kudratNya, maka kita ini adalah makhluk yang langsung tidak punya kudrat.

Allah menyeru, katakanlah ! Maka sahutlah kata itu, dengan penuh percaya. Allah sedang menegaskan, ‘Wahai manusia, Aku lah Tuhanmu Yang Maha Esa!’. Tidakkah kamu mendengarnya dik? Itu Al-Quran kalam Allah, dan di dalamnya Allah memberitahumu, ‘Aku Tuhanmu’.

Jika kita dapat benar-benar beriman pada pernyataan ini, maka selesailah permasalahan kita. Tiada lagi kita mendamba selain daripadaNya, satu-satunya Yang Maha Agung. Tiada lagi kita akan berharap pada yang lain, yang sama seperti kita, langsung tidak punya kudrat. Tiada lagi yang bertawajjuh dan memuja perkara batil, kerana hanya Dia. Hanya Dia !

Cinta.

Seperti pasangan suami isteri yang saling mencintai, sanggup berkorban apa sahaja demi pasangannya. Tidak kisah jika diri terluka mahupun terkorban, kerana sakit dilukai itu tidak sesakit melihat pasangannya berduka. Asal sahaja pasangannya bahagia, maka dia juga bahagia walau dalam sakit dan cedera.

Seperti itu dirasakan dalam melaksanakan ketaatan kepadaNya, bahkan lebih lagi. Beribadah hanya kerana mengharapkan sebuah keredhaan dari Tuhan Azzawajalla, Tuhan semesta alam. Ibadah yang bebas merdeka dari mengharap sebarang balasan, hatta syurga sekalipun. Bahkan hingga ada pencinta agung yang berkata, ‘Andai jika balasan untuk mencintaiMu Allah adalah neraka, maka aku rela.’

Berdoalah, bermujahadahlah, jangan pernah putus asa, percikan cinta Allah itu ada di mana-mana di sekelilingmu.

Yakin, yang dituju itu Allah Yang Esa.

Kerana AgungNya Dia, maka jalan menuju cintaNya pasti tidak mudah. Allah sedang mengujimu………….

قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ
Katakanlah : Allah itu Maha Esa.

اللَّهُ الصَّمَدُ
Allah itu selama-lamanya tempat tumpuan seluruh makhluk.

لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ
Tidak pernah beranak dan tidak pernah diperanakkan.

وَلَمْ يَكُن لَّهُ كُفُوًا أَحَدٌ
Dan tidak ada sesiapapun yang standing denganNya yang Esa.




No comments: