"...seluruh alam TERPAKSA berserah diri kepada Allah..."
Suatu hari saya terjumpa ayat 83 dalam surah Ali 'Imran yang menambahkan keyakinan saya akan penjelasan dia.
"Maka mengapa mereka mencari agama yang lain selain agama Allah, padahal apa yang di langit dan di bumi berserah diri kepada-Nya, (baik) dengan suka mahupun terpaksa, dan hanya kepada-Nya mereka dikembalikan?"
Memang benar. Akan tercatat di setting minda dan akal kita bahawa 'terpaksa' itu sesuatu yang dilakukan tanpa kerelaan. Ditolak, di'push', ramai yang benci perkataan ini. Tambah-tambah bagi kami pelajar-pelajar tahun pertama engineering yang asyik mempelajari tentang 'force' yang menyebabkan 'motion' sesuatu benda. Ya, memang benar perkataan terpaksa itu menunjukkan yang seseorang itu mesti melakukan sesuatu hal itu tetapi tidak semestinya tanpa kerelaan.
Langit, bumi dan semua yang berada di antara kedua terpaksa menyembah Allah. Tapi, dengan rela hati dan ingin melakukannya. Mungkin sukar bagi kita mengaitkan perkataan paksa dan rela kerana setting kepala kita dah letakkannya sebagai dua hal yang bertentangan.
Jadi, cuba fikirkan analogi ini:
Makan. Bila kita renungkan ayat, 'manusia terpaksa makan', ia ternyata memang benar kerana fitrah manusia kalau tidak makan, manusia akan berasa lapar! Jadi manusia terpaksa makan setiap hari. Padahal tiada siapa yang paksa kita makan kerana kita tiada pilihan lain selain makan. Ya, itu perkataan yang sebenarnya. KITA TIADA PILIHAN. Namun, pernahkah terlintas di fikiran kita bahawa makan itu adalah suatu paksaan? Malah kita melakukannya dengan rela dan suka hati!
Begitu jugalah istilah terpaksa menyembah Allah. Contohnya, makhluk Allah yang bernama bayang-bayang. Bayang-bayang atau 'shadow' ini tiada pilihan lain selain mengikut bentuk benda asal. Bayang-bayang kita terpaksa mengikut bentuk kita kerana tentu manusia hidup ketakutan kalau bayang-bayang boleh mengikut bentuk sesuka hatinya.
Dari sini, dapatlah kita tahu bahawa bayang-bayang kita dicipta untuk kita. Padahal kita tak sedar bahawa sesungguhnya seluruh langit dan bumi ini dicipta untuk tunduk kepada manusia! Lihatlah betapa tingginya darjat manusia sebagai khalifah. Allah telah memuliakan manusia sehinggakan para malaikat yang kita pandang tinggi telah pun tunduk pada Adam. Namun, ramai manusia yang menjadikan diri sendiri hina hingga menjadi sekutu syaitan yang direjam.
Roh manusia juga datangnya dari Allah, roh Allah. Manakah perkara yang lebih mulia daripada ini? Sesungguhnya kemuliaan yang Al-Quran beri kepada manusia jauh lebih tinggi daripada kemuliaan yang manusia beri sesama manusia.
Allah memuliakan manusia dengan menciptakan seluruh langit dan bumi untuk manusia. Untuk memudahkan manusia. Ya, kucing, awan, gunung, angin, habuk, bayang-bayang, bunyi, masa, semuanya makhluk Allah yang diciptakan untuk manusia. Betapa tingginya darjat manusia di sisi Allah. Sedangkan berapa ramai yang benar-benar bersyukur?
No comments:
Post a Comment