Pages

Monday 28 April 2008

Jahiliyyah Dalam Diri Dan Masyarakat


Ada berapa surah dalam Al-Quran?
Tercengang beberapa akhawat di situ. Soalan apakah itu, yang langsung tidak dijangka akan ditanya bila bercakap tentang Al-Qur'an? (Kemudian, dia tersengih bila ada yang tak dapat jawab dan membuat kenyataan seolah-olah menyimpulkan; ramai perempuan yang bawa Al-Qur'an tapi tak kenal Al-Qur'an.) Ini di antara situasi-situasi yang akan dilalui oleh mereka tatkala melangkah keluar ke suatu tempat asing.

Pentingkah mengetahui bilangan surah dalam Al-Qur'an berbanding mengambil tahu content Al-Qur'an itu sendiri?
Dan paling pelik, antara bertadabbur dan menghafaz tanpa faham maksudnya, kebanyakan orang kita pandang pada menghafaz tanpa tahu maksud. Sebabnya nanti bolehlah rasa bangga dan sejuk perut bila anak-anak dapat baca Al-Qur'an dengan lancar. Alhamdulillah, menghafaz Al-Qur'an itu sangat baik dan bukan mudah dilakukan melainkan hati kita benar-benar bersih. Semua orang mestilah berada di dalam proses menghafaz Al-Qur'an. Yang salahnya, konsep masyarakat dan pandangan mereka yang menjadikan Al-Qur'an sebagai alat sumber ibadah kepada Allah semata-mata. Sedangkan Allah menyampaikan perkara-perkara yang sangat penting di dalam Al-Qur'an dan hakikatnya, majoriti orang Malaysia pula tidak fasih atau pandai berbahasa Arab.

Al-Qur'an begitu penting buat kita kerana kandungannya adalah dari Allah buat kita semua manusia dan jin. Ketika kita membaca (tafsir), kita kena tekankan dalam hati yang ayat itu ditujukan untuk kita. Contohnya, dalam ayat Ya ayyuhal muzammil, kita kena tahu, ayat itu ditujukan oleh Allah kepada kita sebenarnya, bukan hanya kepada Rasulullah pada ketika itu. Kalau tidak, masakan kita katakan Al-Qur'an itu diturunkan untuk semua manusia dan bukan hanya untuk Rasulullah sahaja? Dan bila kita terbaca 'ya ayyuhallazi naamanu', tidak tergetarkah di hati kita yang Allah sedang berbicara kepada kita? Tanya hati, adakah kita benar-benar golongan beriman? (InsyaAllah)
Mestilah. Kami memang bersaksi bahawa Allah itu Tuhan semesta alam.
Benarkah iman setakat itu, kerana Abu Jahal juga mengaku perkara yang sama, begitu juga beberapa kaum terdahulu tetapi mereka masih dilaknat Allah. Iman itu tidak lengkap hanya dengan pengakuan itu. Lengkapkah kalau kita masih bergelumang dengan jahiliyyah seperti hiburan-hiburan, cinta-cintan, lepak, bola, wayang, fesyen, wang dan sebagainya? Ramai sahaja ilmuan-ilmuan sains kita yang telah sesat agamanya, apatah lagi orang biasa seperti kita yang menghabiskan hidup dengan perkara-perkara sia-sia tadi.
"Di antara (tanda) keislaman seseorang adalah ia meninggalkan perkara yang tidak berguna baginya." (hr Tirmidzi)
Kita memang tidak sedar, yang kita telah hidup dan ditarbiyyah dengan suasana dan sistem jahiliyyah. Sejak kecil lagi, kita sudah selalu sangat tengok wanita islam yang buka aurat di sana sini, sampai kita pun sudah hilang sensitiviti sebab terbiasa dengannya. Media-media pula bagaikan penggalak jahiliyyah ini, tidak kiralah dalam bidang politik, hiburan, pemikiran mahupun agama. Diibaratkan, jika islam itu putih, jahiliyyah itu hitam, kita semua ini bergelumang dengan kelabu asap. Kalaupun semalam kita benar-benar menangis sebab mengenangkan dosa kita, esoknya kita ulang kesalahan yang sama seolah-olah tangisan semalam tidak pernah berlaku. Ini disebabkan, kita tidak buang sisa-sisa jahiliyyah yang ada dalam diri kita. Kita masih leka menonton rancangan hiburan di tv, sibuk mengejar assignment sampai abaikan ajakan ke ceramah, kejar budaya barat, sumbat lagu-lagu lagho di telinga, menghadap bola sepak, bergosip, bercouple, bergaya dengan jenama hebat dan sebagainya. Ini bukan merujuk kepada mana-mana pihak, cuma menyampaikan pemikiran yang sebenar buat orang lain. Jahiliyyah ini susah dibuang, tapi kena tanggal habis-habisan! Kalau kita benar-benar sayangkan iman kita, selamatkanlah ia dari lubang jahiliyyah ini. Masuklah ke dalam islam sepenuhnya, kerana Allah menjanjikan keuntungan yang besar buat orang-orang yang beriman dan beramal soleh serta yang menolong agama-Nya. Berminatkah anda dalam perdagangan ini??
"Zuhudlah terhadap apa yang ada di dunia maka Allah akan mencintaimu, dan zuhudlah terhadap apa yang ada di tangan manusia maka manusia pun akan mencintaimu." (hr Ibnu Majah)

1 comment:

mmh said...

Wahai orang-orang yang beriman! masuklah kamu ke dalam agama Islam secara keseluruhannya dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.
2:208