Pages

Tuesday 29 April 2008

Pentingkan Apa Yang Lebih Penting

Saya terbaca satu bahagian kartun dalam surat khabar lama ketika sedang membuat projek jambatan surat khabar untuk subjek ENG1020. Dalam kartun tu, si suami yang sedang duduk membaca surat khabar dan memberitahu isterinya tentang isu kekurangan beras di negara jiran. Kemudian si isteri pun meluahkan rasa kasihannya sedangkan ketika itu dia sedang membuang sepinggan nasi yang tidak habis dimakan ke dalam tong sampah. Lawak tragik.

Fenomena kasihan di Malaysia ini seolah-olah satu budaya. Mereka meluahkan ke serata tempat tentang perasaan mereka tentang sesuatu peristiwa hanya kerana ingin menunjukkan tahap sensitiviti mereka pada isu semasa manusia. Yang tragiknya, tiada tindakan untuk menzahirkan sensitiviti berkenaan. Seperti kartun tadi, rasa kasihan tapi sendiri yang buang beras.

Tunggang-langgang

Masyarakat Islam di Malaysia (terutamanya Melayu) sangat pantang bila ada isu melibatkan agama dan maruah Islam. Contohnya, kes tuntutan jenazah seorang muslim daripada keluarganya yang bukan islam, kes tuntutan murtad Lina Joy, kontroversi filem fitna dan baru-baru ini pula, kes menamakan 'Tuhan' dalam terjemahan Bible Melayu sebagai 'Allah'.

Bila isu-isu begini muncul, melompatlah umat islam kita membuat penentangan habis-habisan. Isu mempertahankan agama ini bukan sahaja melibatkan ahli politik sahaja, malah rakyat dari pelbagai tahap juga turut meluahkan kemarahan. Situasi begini ada baiknya, menunjukkan yang umat Islam di sini masih lagi sayangkan agama.

Namun, dalam kehidupan biasa, rasuah, bunuh,rompak, zina, dadah, rempit dan sebagainya berjalan seperti biasa; malah orang-orang yang beria-ia memboikot itu ini kerana isu agama pun turut terlibat sama.

Kadang-kadang, orang-orang kita tidak sedar yang mereka sering mementing perkara yang tidak penting berbanding yang penting. Kalaupun orang itu islam, dia tetap mati dalam islam walau di mana pun dia dikuburkan. Kalaupun orang kafir mencipta filem-filem menghina islam, mereka hanyalah memaparkan kebodohan mereka. Mereka ini hanya ingin melihat umat islam memberontak untuk membolehkan mereka mencipta lagi isu tentang keganasan islam. Agenda kafir tidak akan pernah berhenti. Lagipun, mereka ini golongan yang 'sakit hati' kerana islam berkembang pesat di barat. Yang perlu kita risaukan ialah kemasukan filem-filem yang memaparkan aksi-aksi zina, masalah sosial, dan juga filem-filem lagha seperti kisah cinta dan sebagainya yang diterbitkan tanpa batasan dan tapisan oleh kerajaan lalu merosakkan pemikiran anak remaja kita.

Tentang bantahan untuk penggunaan perkataan 'Allah' dalam terjemahan Bible pula menjadi isu hangat dan membakar kemarahan umat islam kita. Sedangkan Abu Jahal dulu pun percaya akan kewujudan Allah sebagai Rab. Allah juga menyebutkan dalam surah Al-Maidah, ayat 73:
"Sungguh, telah kafir orang-orang yang mengatakan bahawa Allah itu satu dari yang tiga, padahal tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Tuhan Yang Esa. Jika mereka tidak berhenti dari apa yang mereka katakan, pasti orang-orang yang kafir di antara mereka akan ditimpa azab yang pedih."
Allah sendiri yang mengakui akan situasi ini menggambarkan perbuatan itu sebagai suatu perbuatan dan sifat kafir tapi kita masih sibuk menentang. Sedangkan kita ini sepatutnya menguatkan perkataan Allah itu dalam hati kita dan umat Islam lain, bukan hanya merebut pada nama tuhan sahaja. Kalau benar, kita sangat cintakan kalimah 'Allah' sampai benci ingin berkongsi dengan orang lain, mengapa masih ramai di antara kita yang tanpa segan silu membuat ma'siat dan perkara yang sia-sia seolah-olah tidak bertuhan?

Berapa banyak anak gadis bertudung yang terlibat dengan kes zina? Berapa banyak pemimpin kita yang terlibat dengan rasuah? Negara kita kini banyak menghabiskan wang untuk makan minum penjenayah-penjenayah di dalam penjara yang hakikatnya kebanyakan mereka mengulang jenayah ini bila dibebaskan. Mengapa terlalu berfikir tentang cara mengubat kalau tidak mencari jalan mengelak dari awal?

Sebenarnya, menegakkan aqidah itu yang paling penting, tapi lihatlah umat kita di sini, suka mementingkan dan mempertahankan perkara yang tidak penting tanpa mereka sedar, aqidah islam sedang berkarat dan hampir putus dalam hati kebanyakan orang islam kita.

No comments: