Pages

Monday 18 August 2008

mencintai yang dicintai

Dalam hidup, banyak benda yang kita inginkan. Banyak perkara yang sangat kita dambakan. Kita ada macam-macam impian. Dalam hidup saya, masih ada beberapa perkara yang saya impikan, dan masih belum tercapai, dan sesetengahnya mungkin sekali tidak akan tercapai.

Tidak mendapat apa yang diidamkan? Rasa frust ? Kecewa? Putus asa?

Yang perlu sentiasa kita yakini; kita manusia ada agenda sendiri, ada perancangan tersendiri. Tapi Al-Kholiq mempunyai agendaNya yang jauh lebih besar. Dan sesungguhnya agenda Dia adalah yang terbaik untuk kita.

Dijadikan terasa indah dalam pandangan manusia cinta terhadap apa yang diinginkan, berupa perempuan-perempuan, anak-anak, harta benda yang bertumpuk dalam bentuk emas dan perak,kuda pilihan, haiwan ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah lah tempat kembali yang terbaik.

[ Ali-Imran; 3:14 ]

Secara kasarnya apa yang dapat saya fahami dari firman Allah di atas, manusia mempunyai pelbagai keinginan yang tampak indah pada pandangan mereka. Take notes; ‘nampak indah pada pandangan’ . keindahan itu adalah suatu yang subjektif. Tapi perkara yang disebutkan di atas, hanyalah indah pada pandangan manusia semata. Tapi indahkah ia pada pandangan Allah ?

Amnya ayat di atas adalah bagi lelaki, dan yang pertama-tama disebut sebagai keinginan yang nampak indah itu adalah ‘perempuan’ . dan sesungguhnya perempuan itu nampak indah pada pandangan mata lelaki. Take notes; ‘pada pandangan mata’ . kemudian yang diinginkan adalah anak-anak, harta yang bertumpuk yakni jelas dan nyata dapat dipegang dan dilihat seperti dalam bentuk emas dan perak, serta harta duniawi lainnya seperti kuda yang terpilih (kenderaan) . tapi semua itu hanya keindahan pada pandangan mata. Jadi, apa sebenarnya keindahan yang hakiki ?

Atas semua keinginan yang tampak indah pada pandagan mata ini, Allah memberi amaran pada kita :

Katakanlah, “Jika bapak-bapakmu, anak-anakmu, saudara-saudaramu, isteri-isterimu, keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perdagangan yang kamu khuatirkan kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, lebih kamu cintai daripada Allah dan RasulNya serta berjihad di jalanNya, maka tunggulah sampai Allah memberikan keputusan-Nya.” Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasik.

[At-Taubah; 9:24]

Saya bukan ahli mentafsir Al-Quranul Karim, dan Al-Quran itu tidak boleh ditafsir dengan akal semata-mata tanpa ada gurunya. Mentafsir Kalamullah secara `aqli, sesatlah saya, dan sesatlah para pembaca. Secara kasarnya, apa yang saya peroleh daripada guru saya; jika segala keindahan duniawi yang kita impikan itu lebih kita cintai daripada mencintaiNya, maka tunggu sajalah azab dari Dia, kerana kita tergolong manusia yang fasik (berdosa).

Tertanya-tanya, jika begitu, salahkah kita menginginkan segala perkara di atas? semuanya bukan perkara buruk, bahkan banyak kebaikan padanya.

Jawapannya, tidak, tak salah. Memang sudah fitrah manusia, yang memerlukan kepada perkara-perkara tersebut. sebagaimana Allah menyatakan perkara di atas sebagai keinginan manusia, seperti itu jualah ia adalah fitrah manusia untuk menginginkannya.

Kenapa kita menginginkan keindahan seperti di atas, yakni perempuan, anak-anak, dan harta benda? Tanyakan pada diri anda sendiri, kenapa anda menginginkannya.

Jawapannya, perkara tersebut memang telah difitrahkan nampak indah pada pandangan mata manusia. Dan perkara indah itu selalunya dianggap sebagai suatu kebaikan, keuntungan, yang merupakan rahmat dan kurniaan dari Ilahi. Tidakkah ia suatu rahmat bila dipasangkan dengan seorang pasangan, dan dirahmati dengan anak-anak? Tidakkah ia suatu rahmat, suatu kebaikan, bila dianugerahkan harta kekayaan yang bertumpuk, rumah yang selesa, kenderaan yang bergaya untuk membawa ahli keluarga? Tidakkah ia suatu rahmat kasih sayang dari Ilahi bila hidup kita sejahtera dan selesa, sentiasa ceria ?

Terpulang pada kita, bagaimana untuk mentafsirkan maksud ‘keuntungan’ dan ‘kebaikan’ itu. Tanyakanlah pada diri sendiri, kebaikan yang bagaimanakah yang kita idamkan ?

Sesungguhnya;

Siapa yang diberikan Allah kebaikan, maka diberikannya kefahaman tentang agama.

[Hadith Riwayat Tabrani]

Rasulullah Sollalohu`alayhiwasallam menegaskan dalam sabda baginda, bahawasanya Allah Taala mendefinisikan kebaikan itu, sebagai kefahaman tentang ad-deen. Hadith ini menjelaskan dengan senyata-nyatanya, bahawa kebaikan yang hakiki itu, sebenarnya, adalah kefahaman tentang agama semata-mata. Bukannya keluarga yang besar, bukannya harta benda yang melimpah di bank, bukan juga pangkat kedudukan, bukan juga kefahaman tentang ilmu sains (engineering misalnya). Tapi kebaikan yang hakiki, di sisi Allah Taala, hanyalah ‘ilmu dan kefahaman tentang agama’ .

Lalu cuba kita renung-renungkan, di setiap untai doa kita yang kadang berjela-jela, apakah kebaikan yang sentiasa kita minta ? Apakah kita selalu meminta moga dipasangkan dengan si anu (unknown). Atau adakah kita selalu meminta moga dikurniakan rumah besar, kereta mewah, hidup tenteram lagi ceria? Atau adakah kita dalam doa, bermohon moga dikurniakan kefahaman sedalamnya tentang ilmu sains (duniawi) ? tanpa pernah terlintas di fikiran, bahawa yang terbaik itu adalah kefahaman tentang agama semata-mata?

Ada sahabat yang tertanya-tanya, jika begitu, dalam doa, tidak bolehke kita meminta agar dikurniakan perkara yang kita sukai ?

Jawapannya, boleh. Mintalah, ‘semoga dikurniakan dengan apa yang aku sukai, jika ia adalah perkara yang Engkau sukai YaAllah. Jika ia bukan perkara yang Engkau sukai, maka tariklah ia dari aku, dan jadikanlah ia juga tidak aku sukai. Dan kurniakanlah kefahaman padaku tentang apa-apa yang Engkau sukai.’

Semoga Allah menganugerahkan kita dengan kebaikan; yakni kefahaman yang sebenarnya tentang ad-deen yang jitu dan unggul. Amin.

No comments: