Pages

Monday 15 September 2008

Fi'il Ramadhan

Hari ini 15 September 2008, bersamaan 15 Ramadhan 1429. (Nah, kedua-duanya 15/9!) Mahu atau tidak untuk menerima kenyataan, hari ini sudah pun masuk separuh daripada bulan Ramadhan. Bila dongak ke langit dan nampak bulan yang sudah purnama, rasa tercengang.

Entah apa yang berlaku selama 15 hari lepas. Rugilah kalau tak banyak yang berlaku. Apakah itu tandanya keberadaan diri di dalam golongan iman pertengahan? Teringat kembali kisah 'abid yang diceritakan semalam -'abid yang berpuasa kerana keldai.

Diceritakan, 'abid ini telah bernazar kepada Allah ketika keldainya jatuh sakit. Kehidupannya yang menjadi tidak terurus kerana tiada si keldai untuk membantunya dalam pekerjaan hariannya membuatkan di bertekad untuk berpuasa seminggu jika keldainya sembuh. Dengan izin Allah, kemudian keldai itu pun sembuh dan dapat membantu 'abid seperti dalam pekerjaannya seperti biasa. Maka 'abid yang gembira ini pun berpuasa selama seminggu untuk menunaikan nazarnya. Namun, ditakdirkan Allah untuk mengujinya, pada hari terakhir dia berpuasa, keldainya jatuh sakit dan terus mati.

Si 'abid pun merasa geram dan marah kepada Allah. Bersusah payah dia berpuasa selama seminggu! Dia pun mengatakan yang dia tidak mahu berpuasa selama seminggu di dalam bulan Ramadhan yang mendatang nanti.

Kisah ringkas yang menggambarkan iman pertengahan, iman pedagang. Iman mereka yang membuat sesuatu untuk mendapat sesuatu. Sudah semestinya kita katakan si 'abid itu teruk. Namun, sedar atau tidak sebenarnya kebanyakan kita juga sama seperti si 'abid tadi.
Kita yang berpuasa di bulan Ramadhan, berpusu-pusu ke bazar dan kedai menjelang petang. Berebut-rebut menu mewah. Nasi ayam, ayam percik, laksa penang, putu piring, popia dan kuih-muih. Beli puas-puas, seolah-olah berkata, "Baru puas hatiku, sepanjang hari aku berpuasa!" atau "Penat puasa kenalah makan banyak-banyak!"

Eh! Kan sama saja fi'ilnya macam 'abid tadi...

Macam kita yang qiam 2-3 jam, lepas habis solat subuh terus jatuh gedebuk di atas tilam. Lelap sampai tengah hari seolah-olah berkata, "Baru puas hatiku, penat! Beberapa jam aku sudah qiam ni!"

Ada banyak jenis pedagang. Ada jual beli benda baik. Ada yang biasa-biasa dan ada yang menuju ke jalan yang tidak baik. Mana satu yang anda pilih?

ujian

Allah sememangnya akan menguji hamba-hambanya. Masakan tidak? Bukankah kamu orang-orang yang mengaku beriman?
"Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, "Kami telah beriman," dan mereka tidak diuji?" (69:2)
Orang yang hidup tenang tanpa ujian itu adalah orang yang mengambil jalan selamat. Tidak mahu ambil tanggungjawab, tak mahu ada komitmen. Dia akan sentiasa duduk di safe side. Lama-lama hidupnya akan terasa bosan kerana tidak ada pahit manisnya. Sedar atau tidak, itu juga adalah ujian. Hidup terlalu aman juga adalah ujian yang sulit.

Bertuahnya orang yang menghadapi kesukaran. Kesukaran itu datang kerana kita telah lalai terhadap Allah. Betapa Allah Maha Penyayang... Bukankah Allah menguji hamba-hambanya supaya mereka kembali kepadanya?
Setiap masalah ada jalan keluar.
Terutamanya di bulan Ramadhan ini, berbagai dugaan yang bertalu-talu datang ke arah kita. Bila nak beribadah, banyak pula assignment yang datang. Bila nak pergi ke program, terpaksa memilih pula sebab muncul perkara yang juga penting dalam masa yang sama. Bila duduk, ada sahaja perkara lagha yang menduga. Bisikan yang jahat ini bukan sahaja datang daripada syaitan. Siapa kata anda selamat dari bisikan bila tiba Ramadhan?
"Yang membisikkan (kejahatan) ke dalam dada manusia, dari (golongan) jin dan manusia." (114:5-6)
Tapi...
"Ujian tu ujianlah juga. Yang peliknya, kenapa aku asyik ditimpa ujian yang sama???"
Ya. Ada yang asyik diuji dengan assignment. Yalah, jadi miserable sikit bila datangnya assignment. Ada pula yang sering sangat diuji dengan masalah hubungan dengan teman-teman. Ada yang asyik mengalami masalah kewangan. Ada yang seringkali diuji dengan masalah keluarga. Ada pula wanita yang seringkali diuji dengan lelaki. Memang benar setiap orang sering diuji dengan perkara yang sama. Namun mengapa??
"Sebab anda sebenarnya tidak lepas lagi ujian itu. "
Tak lepas darjah 1, mana boleh naik darjah 2.

No comments: