Pages

Tuesday 29 April 2008

Pentingkan Apa Yang Lebih Penting

Saya terbaca satu bahagian kartun dalam surat khabar lama ketika sedang membuat projek jambatan surat khabar untuk subjek ENG1020. Dalam kartun tu, si suami yang sedang duduk membaca surat khabar dan memberitahu isterinya tentang isu kekurangan beras di negara jiran. Kemudian si isteri pun meluahkan rasa kasihannya sedangkan ketika itu dia sedang membuang sepinggan nasi yang tidak habis dimakan ke dalam tong sampah. Lawak tragik.

Fenomena kasihan di Malaysia ini seolah-olah satu budaya. Mereka meluahkan ke serata tempat tentang perasaan mereka tentang sesuatu peristiwa hanya kerana ingin menunjukkan tahap sensitiviti mereka pada isu semasa manusia. Yang tragiknya, tiada tindakan untuk menzahirkan sensitiviti berkenaan. Seperti kartun tadi, rasa kasihan tapi sendiri yang buang beras.

Tunggang-langgang

Masyarakat Islam di Malaysia (terutamanya Melayu) sangat pantang bila ada isu melibatkan agama dan maruah Islam. Contohnya, kes tuntutan jenazah seorang muslim daripada keluarganya yang bukan islam, kes tuntutan murtad Lina Joy, kontroversi filem fitna dan baru-baru ini pula, kes menamakan 'Tuhan' dalam terjemahan Bible Melayu sebagai 'Allah'.

Bila isu-isu begini muncul, melompatlah umat islam kita membuat penentangan habis-habisan. Isu mempertahankan agama ini bukan sahaja melibatkan ahli politik sahaja, malah rakyat dari pelbagai tahap juga turut meluahkan kemarahan. Situasi begini ada baiknya, menunjukkan yang umat Islam di sini masih lagi sayangkan agama.

Namun, dalam kehidupan biasa, rasuah, bunuh,rompak, zina, dadah, rempit dan sebagainya berjalan seperti biasa; malah orang-orang yang beria-ia memboikot itu ini kerana isu agama pun turut terlibat sama.

Kadang-kadang, orang-orang kita tidak sedar yang mereka sering mementing perkara yang tidak penting berbanding yang penting. Kalaupun orang itu islam, dia tetap mati dalam islam walau di mana pun dia dikuburkan. Kalaupun orang kafir mencipta filem-filem menghina islam, mereka hanyalah memaparkan kebodohan mereka. Mereka ini hanya ingin melihat umat islam memberontak untuk membolehkan mereka mencipta lagi isu tentang keganasan islam. Agenda kafir tidak akan pernah berhenti. Lagipun, mereka ini golongan yang 'sakit hati' kerana islam berkembang pesat di barat. Yang perlu kita risaukan ialah kemasukan filem-filem yang memaparkan aksi-aksi zina, masalah sosial, dan juga filem-filem lagha seperti kisah cinta dan sebagainya yang diterbitkan tanpa batasan dan tapisan oleh kerajaan lalu merosakkan pemikiran anak remaja kita.

Tentang bantahan untuk penggunaan perkataan 'Allah' dalam terjemahan Bible pula menjadi isu hangat dan membakar kemarahan umat islam kita. Sedangkan Abu Jahal dulu pun percaya akan kewujudan Allah sebagai Rab. Allah juga menyebutkan dalam surah Al-Maidah, ayat 73:
"Sungguh, telah kafir orang-orang yang mengatakan bahawa Allah itu satu dari yang tiga, padahal tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Tuhan Yang Esa. Jika mereka tidak berhenti dari apa yang mereka katakan, pasti orang-orang yang kafir di antara mereka akan ditimpa azab yang pedih."
Allah sendiri yang mengakui akan situasi ini menggambarkan perbuatan itu sebagai suatu perbuatan dan sifat kafir tapi kita masih sibuk menentang. Sedangkan kita ini sepatutnya menguatkan perkataan Allah itu dalam hati kita dan umat Islam lain, bukan hanya merebut pada nama tuhan sahaja. Kalau benar, kita sangat cintakan kalimah 'Allah' sampai benci ingin berkongsi dengan orang lain, mengapa masih ramai di antara kita yang tanpa segan silu membuat ma'siat dan perkara yang sia-sia seolah-olah tidak bertuhan?

Berapa banyak anak gadis bertudung yang terlibat dengan kes zina? Berapa banyak pemimpin kita yang terlibat dengan rasuah? Negara kita kini banyak menghabiskan wang untuk makan minum penjenayah-penjenayah di dalam penjara yang hakikatnya kebanyakan mereka mengulang jenayah ini bila dibebaskan. Mengapa terlalu berfikir tentang cara mengubat kalau tidak mencari jalan mengelak dari awal?

Sebenarnya, menegakkan aqidah itu yang paling penting, tapi lihatlah umat kita di sini, suka mementingkan dan mempertahankan perkara yang tidak penting tanpa mereka sedar, aqidah islam sedang berkarat dan hampir putus dalam hati kebanyakan orang islam kita.

Monday 28 April 2008

Jahiliyyah Dalam Diri Dan Masyarakat


Ada berapa surah dalam Al-Quran?
Tercengang beberapa akhawat di situ. Soalan apakah itu, yang langsung tidak dijangka akan ditanya bila bercakap tentang Al-Qur'an? (Kemudian, dia tersengih bila ada yang tak dapat jawab dan membuat kenyataan seolah-olah menyimpulkan; ramai perempuan yang bawa Al-Qur'an tapi tak kenal Al-Qur'an.) Ini di antara situasi-situasi yang akan dilalui oleh mereka tatkala melangkah keluar ke suatu tempat asing.

Pentingkah mengetahui bilangan surah dalam Al-Qur'an berbanding mengambil tahu content Al-Qur'an itu sendiri?
Dan paling pelik, antara bertadabbur dan menghafaz tanpa faham maksudnya, kebanyakan orang kita pandang pada menghafaz tanpa tahu maksud. Sebabnya nanti bolehlah rasa bangga dan sejuk perut bila anak-anak dapat baca Al-Qur'an dengan lancar. Alhamdulillah, menghafaz Al-Qur'an itu sangat baik dan bukan mudah dilakukan melainkan hati kita benar-benar bersih. Semua orang mestilah berada di dalam proses menghafaz Al-Qur'an. Yang salahnya, konsep masyarakat dan pandangan mereka yang menjadikan Al-Qur'an sebagai alat sumber ibadah kepada Allah semata-mata. Sedangkan Allah menyampaikan perkara-perkara yang sangat penting di dalam Al-Qur'an dan hakikatnya, majoriti orang Malaysia pula tidak fasih atau pandai berbahasa Arab.

Al-Qur'an begitu penting buat kita kerana kandungannya adalah dari Allah buat kita semua manusia dan jin. Ketika kita membaca (tafsir), kita kena tekankan dalam hati yang ayat itu ditujukan untuk kita. Contohnya, dalam ayat Ya ayyuhal muzammil, kita kena tahu, ayat itu ditujukan oleh Allah kepada kita sebenarnya, bukan hanya kepada Rasulullah pada ketika itu. Kalau tidak, masakan kita katakan Al-Qur'an itu diturunkan untuk semua manusia dan bukan hanya untuk Rasulullah sahaja? Dan bila kita terbaca 'ya ayyuhallazi naamanu', tidak tergetarkah di hati kita yang Allah sedang berbicara kepada kita? Tanya hati, adakah kita benar-benar golongan beriman? (InsyaAllah)
Mestilah. Kami memang bersaksi bahawa Allah itu Tuhan semesta alam.
Benarkah iman setakat itu, kerana Abu Jahal juga mengaku perkara yang sama, begitu juga beberapa kaum terdahulu tetapi mereka masih dilaknat Allah. Iman itu tidak lengkap hanya dengan pengakuan itu. Lengkapkah kalau kita masih bergelumang dengan jahiliyyah seperti hiburan-hiburan, cinta-cintan, lepak, bola, wayang, fesyen, wang dan sebagainya? Ramai sahaja ilmuan-ilmuan sains kita yang telah sesat agamanya, apatah lagi orang biasa seperti kita yang menghabiskan hidup dengan perkara-perkara sia-sia tadi.
"Di antara (tanda) keislaman seseorang adalah ia meninggalkan perkara yang tidak berguna baginya." (hr Tirmidzi)
Kita memang tidak sedar, yang kita telah hidup dan ditarbiyyah dengan suasana dan sistem jahiliyyah. Sejak kecil lagi, kita sudah selalu sangat tengok wanita islam yang buka aurat di sana sini, sampai kita pun sudah hilang sensitiviti sebab terbiasa dengannya. Media-media pula bagaikan penggalak jahiliyyah ini, tidak kiralah dalam bidang politik, hiburan, pemikiran mahupun agama. Diibaratkan, jika islam itu putih, jahiliyyah itu hitam, kita semua ini bergelumang dengan kelabu asap. Kalaupun semalam kita benar-benar menangis sebab mengenangkan dosa kita, esoknya kita ulang kesalahan yang sama seolah-olah tangisan semalam tidak pernah berlaku. Ini disebabkan, kita tidak buang sisa-sisa jahiliyyah yang ada dalam diri kita. Kita masih leka menonton rancangan hiburan di tv, sibuk mengejar assignment sampai abaikan ajakan ke ceramah, kejar budaya barat, sumbat lagu-lagu lagho di telinga, menghadap bola sepak, bergosip, bercouple, bergaya dengan jenama hebat dan sebagainya. Ini bukan merujuk kepada mana-mana pihak, cuma menyampaikan pemikiran yang sebenar buat orang lain. Jahiliyyah ini susah dibuang, tapi kena tanggal habis-habisan! Kalau kita benar-benar sayangkan iman kita, selamatkanlah ia dari lubang jahiliyyah ini. Masuklah ke dalam islam sepenuhnya, kerana Allah menjanjikan keuntungan yang besar buat orang-orang yang beriman dan beramal soleh serta yang menolong agama-Nya. Berminatkah anda dalam perdagangan ini??
"Zuhudlah terhadap apa yang ada di dunia maka Allah akan mencintaimu, dan zuhudlah terhadap apa yang ada di tangan manusia maka manusia pun akan mencintaimu." (hr Ibnu Majah)

Sunday 27 April 2008

<>membasahi hati<>

Sambil mendengar alunan `Try not to cry` by Outlandish ft Sami Yusuf buat kesekalian kalinya…Hati kering..

Try not to cry little one
You`re not alone i`ll stand by you
Try not to cry little one
My heart`s your stone
I`ll throw with you..

Tercampak sudahkah hati ini?
Dalam seminggu dua ni,hati memang kekeringan; bagai terpisah antara roh dan jasad, antara hati dan akal..dalam setiap senggang waktu,asyik teringatkan banyak kerja nak disettlekan, banyak sillabus yang dah jauh ketinggalan, dan final exam yang semakin dekat dengan kosong persiapan; jangan kata nak bersedia, nak memaham dan menghadam apa yang telah dipelajari pun entah bila..Dan sejak akhir-akhir ini, satu perkataan yang selalu terawang-awang di fikiran,dan terngiang-ngiang di telinga; `PHASOR`..apatu phasor?yang pasti,phasor tu cam vector,ada anak panah =p

Lantas, bagaimana mencampak hati untuk agama Allah, seandainya diri tak kurang jahilnya dengan orang-orang jahil yang sememangnya tak mengetahui? Di mana letaknya harga jati diri seorang muslim,mukminin yang hatinya melagukan nama Tuhan? Pagi-pagi nak ke kampus, dah lupa nak memasang niat yang baik-baik..kesannya,mungkin seluruh hari tidak mendapat keberkatanNya..adakah,engineering telah menjadi `ilah`ku ? Na`uzubillahiminzalik…

“Ya Tuhan, bantulah hambaMu ini..sesungguhnya aku beriman, YaAllah..Jadikanlah cinta terhadapMu, lebih aku cintai daripada cintaku kepada diriku sendiri,keluarga dan sahabatku, dan cinta kepada air yang sejuk di saat tersangat dahaga.”

Hari-hari semakin kurang nilai tarbiyyahnya..Di manakah letaknya nilai seorang khalifah? Sebaik-baik ummah itu adalah umat Muhammad, Rasulullah Sollallohu`alaihiwasallam . Tahukah kita kenapa darjat diangkat melebihi ummat2 Nabi terdahulu? Adakah sebab kita lebih baik, lebih soleh, lebih tawaddhu`?

`Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, ( kerana kamu ) menyuruh kepada yang maaruf dan mencegah dari yang mungkar…’
(Ali Imran : 110 )

Allah Ta`ala memberikan kita jawapannya. Ummat Muhammad adalah umat manusia yang terbaik, sebab kita digalaskan dengan tugas amar ma`ruf dan nahi mungkar..selayaknyalah kita digelar umat yang terbaik,kerana sesungguhnya tugas itu sama tarafnya dengan tugas para Rasul dan Nabi. Dan dengan status itulah, kita layak mendapat syafaat di hari perhitungan kelak..Namun, tanpa terlaksananya tugas tersebut, tanpa mengajak ke arah kebaikan dan mencegah dari kemungkaran, maka tidak layak kita termasuk dalam golongan ummat yang terbaik ini…wallahua`lam…

Maka, dihitung-hitung dan ditoleh-toleh kembali hari-hari lepas, tertanya, mana AMAR MAA`RUF NAHI MUNGKAR AKU???!!! Alamak…lagho…lagho… selemah-lemah iman itu adalah menegur dengan hati..tapi sejak akhir-akhir ini hatipun jarang menegur,sebab malas nak pikir banyak-banyak,memandangkan pemikiran yang sudah sedia sesak enggan dises$$sakkan lagi…

Istighfar sejenak….
Semoga Allah mengampunkan dosa.. `YaAllah…sesungguhnya aku hambaMu yang lemah dan hina dina..Kasihanilah hambamu ini YaAllah.Terangkanlah jalan bagi kami, dan janganlah Engkau biarkan nasib kami ditentukan oleh kami sendiri, walau dalam kadar sekelip mata ataupun kadar yang lebih singkat dari itu…sesungguhnya, hanya Engkau yang Maha Mengetahui, baik yang terang mahupun yang tersembunyi.Amin…`

Lantaran itu, saya kuatkan semangat untuk menghasilkan post ini..Ini bekal hujah di hari perhitungan kelak…Inilah amar maa`ruf saya..anda, bila lagi?

^_~

Thursday 24 April 2008

kekeliruan identiti menjadikan kita hilang arah

Artikel menarik =)
Memetik sebahagian:

Identiti Islam dalam negara kita ini dari beberapa sudut amat samar. Maka tidak hairan jika muslim dan bukan muslim semakin keliru. Sesetengah pentas kita berkata kita ingin menghayati Islam. Tapi akhirnya yang nampak hanyalah slogan dan kain rentang semata. Saya tidak maksudkan dengan identiti Islam itu pemimpin negara ini kena berserban dan berjubah, atau pakaian rakyat jelata ditukarkan kepada fesyen arab, atau dendangan nasyid di sepanjang jalan, atau diharamkan hiburan dan filem seperti yang dibayangi oleh sesetengah pendendang negara Islam tanpa kefahaman yang betul.

Tetapi saya maksudkan identiti negara Islam itu prinsip-prinsip Islam mesti dipertahankan. Keadilan, ketelusan, keamanan dan kemuliaan negara berdasarkan Islam. Semua perdagangan, pertahanan, pendidikan, alam sekitar, hubungan sosial dan selainnya mestilah dibina atas prinsip-prinsip mulia yang diasaskan oleh Islam. Jika ini berlaku, maka Islam akan difahami dan dipandang tinggi oleh bukan Islam. Jika tidak mereka keliru dan tiada penghormatan kepada penganutnya.

Saya tidak tahu di manakah identiti Islam bagi negara ini jika saya berjalan di Bukit Bintang? Di manakah gambaran keindahan Islam yang menjaga kerosakan akal, jika pusat-pusat hiburan kita penuh dengan manusia mabuk dan hilang akal? Jika sampai sahaja ke gerbang negara ini,kedai-kedai arak dijual terbuka. Apakah negara ini kelihatan amat mundur kerana tidak manusia mabuk? Apakah bukan muslim akan rasa begitu tertindas jika arak tidak dipamirkan secara terbuka?.

Saya tidak fikir mereka merasa begitu. Akhirnya kita menghadapi krisis identiti diri. Antara slogan Islam dan penghayatan yang dilaksanakan. Seperti seorang artis yang keliru antara ingin menjadi penyanyi atau menjadi super-man. Krisis identiti ini juga kadang-kala seperti seorang yang berjantina lain, tetapi berkecenderungan lain. Akhirnya ‘saudara’ pun tidak, saudari pun tidak. Maka akhirnya mungkin dipanggil ‘saudarai’.

Negara kita ini perlu menjelaskan apakah identitinya yang sebenar? Setelah dijelaskan maka senanglah untuk kita menbuat penilaian atasan tindakan. Saya lihat kekeliruan sarat berlaku kepada semua jenama parti politik yang ada. Tsumani politik telah merubah banyak identiti negara dan parti.

Oleh Dr Mohd Asri Zainal Abidin (Mufti Kerajaan Perlis

Baca artikel penuh: Utusan Online, juga di Minda Mufti