Pages

Sunday, 7 March 2010

Hidup yang bukan untuk bermain-main



Bismillah,


Apa maknanya pada sebuah kehidupan ?


Kita manusia selalu terlalu disibukkan dengan urusan dunia hingga selalu terlupa hakikat sebentarnya perjalanan pengembaraan bernama sebuah ‘kehidupan ini. Seringkali kita rasa hidup ini adalah kehidupan kita, yang kitalah punya hak dan kuasa sepertimana kita mahu mengatur dan mencorakkannya.


Di sepanjang masa kehidupan kita, selalu kita terlupa bahawa di hujungnya ada satu titik penghujung. Cuma kadang-kadang saja kita teringat tentangnya – tapi cepat pula kita tepis.

‘Choi ! Choi !’ – Seorang kawan Cina membentak bila saya minta maaf dan cakap, ‘Maybe we won’t meet anymore. Who knows, maybe I die first…’ – saya tak berani cakap – ‘Maybe one of us die first…’ – Nanti dia kata saya sumpah dia.


Kita memang cukup takut pada – ‘mati’.


Tapi mati itu sebenarnya adalah sebuah kerehatan – jika kita telah bekerja bersungguh-sungguh semasa hidup. Mati itu adalah sebuah kenikmatan – jika kita telah beramal dengan istiqamah sepanjang hidup. Dan lagi sebenarnya mati itu adalah sebuah rindu – jika kita adalah seorang pencinta yang mengharapkan sebuah pertemuan untuk mengakhiri rasa rindu yang meluap-luap.


Betapa kita mengharapkan di penghujungnya, tidak ada sebarang kekesalan.

‘Oh, kalaulah…’

‘Kalaulah….’

‘Kalaulah aku…’


Sepertimana tidak ada sebarang unsur ‘kebetulan’ dalam Islam, seperti itu jugalah tidak ada sebarang unsur ‘kalaulah’.


Allah telah menyeru kita :


Dan ikutilah sebaik-baik apa yang telah diturunkan kepadamu (Al-Qur’an) dari Tuhanmu sebelum datang azab kepadamu secara mendadak, sedang kamu tidak menyedarinya,

Agar jangan ada orang yang mengatakan, “Alangkah besar penyesalanku atas kelalaianku dalam (menunaikan kewajipan) terhadap Allah, dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang memperolok-olokkan (agama Allah).

[Az Zumar 39 : 55-56]


Choi !


Na’udzubillahiminzalik.


Saya tertampar dengan ayat Allah ini. ‘Oh, banyaknya lagi tanggungjawab yang belum diselesaikan.’ – Dulu, saya selalu mendengar ayat ini diungkapkan oleh sisters yang lebih senior dalam tarbiyah. Saya tertanya-tanya, apa-apalah sahaja yang mereka bimbangkan. Mungkin mereka itu hanya melebih-lebih.


Choi ! Seorang yang tak faham.


Sekarang baru saya faham, banyaknya tanggungjawab yang ada, dan betapa sedikitnya masa dan kudrat seorang hamba yang kerdil. Hingga kadang-kadang rasa seperti dihimpit dalam dunia yang luas, dan kadang-kadang rasa tubuh ini mengecut dan semakin mengecil – dalam keramaian mereka yang punya hak ke atas saya.


Mana mahu mengulangkaji setiap apa yang telah diajari pensyarah di kelas (ini suatu hak!), mana mahu ‘attend and entertain’ kawan-kawan (ini suatu hak!), mana mahu ‘serve and obey’ ibubapa (ini suatu hak!), mana mahu ‘attend and entertain adik-beradik’ (ini suatu hak!), mana mahu mendapatkan tarbiyah untuk diri sendiri (ini suatu hak!), mana mahu memberi tarbiyah kepada orang lain yang memerlukan ( hak yang hak!), mana mahu menguatkan ruhiyah sendiri supaya beroleh kekuatan untuk melaksanakan hak-hak di atas (hak yang hak!), dan terbaru saya menambah list saya – menjana pendapatan yang lebih banyak (keperluan untuk saya menunaikan hak-hak di atas) dan juga menambah satu lagi skil wajib (keperluan supaya saya tidak tempang untuk menunaikan hak-hak di atas).


Kadang-kadang saya rasa mahu berhenti dan mahu menangis. Tetapi saya tahu menangis itu tak berguna. Saya tahu saya perlu berehat dan mencari kekuatan dan daya tolak – saya tahu saya tidak dapat mencarinya dengan pulang ke kampung menemui keluarga yang sangat dirindui, dan saya tahu saya tidak dapat mencarinya dengan beruzlah dan ‘wandering around alone’ seperti yang selalu saya lakukan. Dan kerehatan dan daya tolak itu hanya dapat ditemui pada sebuah cinta…
Alhamdulillah.


Saya teringat suatu hari di pejabat sewaktu saya dalam latihan praktikal – Itu hari Isnin dan saya berpuasa. Pelatih-pelatih lain keluar 'site' meninggalkan saya yang selalu sahaja ditinggalkan di pejabat =( Tetapi hari itu sangat sibuk – syarikat sedang menganjurkan satu program latihan PLC (Programmable Logic Controller), ada 'drawing' yang perlu difinalize, ada 'drawing' yang perlu diedit seperti yang diarahkan staf teknikal, dan ada 'supplier' yang perlu di'deal' sebagaimana diarahkan oleh jurutera. Jadinya saya yang seorang ini ditekan-tekan, terkejar-kejar, membuat kerja dan berlari naik turun tangga berulang-ulang kali sepanjang hari.


Di penghujung hari tersebut pada jam hampir 7 petang, saya terduduk dan terdiam di kerusi. Tenaga sudah kering. Rasa seperti mahu menangis untuk melampiaskan perasaan penat, tetapi juga mahu gelak besar kepada diri sendiri. Saya tidak sedih kerana stress, tetapi saya terharu dan bangga, saya puas, bilamana telah dapat menyiapkan semua kerja dengan me'utilize'kan masa dengan sebaik-baiknya dan menggunakan tenaga yang Allah bagi dengan semaksimumnya.


Itu satu hari dalam kenangan.


Betapa saya mengharapkan hari-hari dalam kehidupan kita juga adalah seperti itu. Disibukkan dengan pelbagai tanggungjawab, dan kita sedaya upaya menunaikan semua hak tersebut – hak kepada Allah Tuhan semesta alam, hak kepada ibu bapa, adik-beradik, kaum keluarga, sahabat sahabiat, teman sekelas, kenalan, para murobbi, para mutarobbi, masyarakat, hak kepada agama, dan hak kepada diri sendiri. Hingga di akhirnya, kita dapat pulang ke tempat rehat dengan airmata terharu dan rasa bangga, dan dapat berkata kepada Allah Yang Maha Agung – ‘ Ya Allah, persaksikanlah. Aku telah bekerja sedaya upayaku sewaktu hidupku. Maka anugerahkanlah aku kerehatan di sampingmu.’.


Bagaimana saya beroleh jentikan untuk menulis entri ini supaya tidak termasuk golongan orang yang lalai yang mengabaikan hak anda yang sedang membaca, seperti itu saya mengharapkan anda beroleh jentikan untuk sedar betapa banyaknya tanggungjawab yang anda ada di dunia ini. Saya berdoa, semoga saya dan anda kuat untuk menunaikan semua tanggungjawab ini, kerana itulah sebenarnya erti sebenar sebuah kehidupan.


Hidup ini bukan untuk bersuka-suka dan bermain-main !


Tidak aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaKu.

[Az-Dzariyat 52:56]


Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, “Aku hendak menjadikan khalifah di muka bumi.”

[Al-Baqarah 2:30]


Hidup ini bukan untuk bermain-main !


Sesungguhnya, kehidupan dunia ini, hanyalah permainan dan senda gurau. Sedangkan negeri akhirat itu, sungguh lebih baik bagi orang2 yg bertaqwa. Tidakkah kamu mengerti?
[Al-An`am 6:32]

I warn You once again, this is no time to play !!!



3 comments:

HaYaTi said...

jazakillah.. berjaya menjentik saya yg sedang pelik

miss harti said...

jazakillahhu khairan kathira!!
semoga Allah memberikan kekuatan kepada kita. Amin.

teacher aulad said...

Syukran atas peringatan.