Pages

Wednesday, 2 June 2010

Pencuri Villa Pale

"Mana ada, tuan hakim! Dalam hal ini saya yang menjadi mangsanya!" kata lelaki berhidung pelik itu. Entah apa namanya, Is atau Us begitulah. "Cuba semua lihat kembali rakaman CCTV tadi, bukan main lagi dia pukul saya. Saya seorang mana boleh lawan ramai!"

Dan video itu pun ditayangkan semula. Kelihatan tertonggeng-tonggeng Is mengelak pukulan. Mahkamah bising dengan sedikit tawa.

Kemudian, bangun peguam dari pihak pembela. Beliau meminta tuan rumah villa Pale untuk masuk ke kandang saksi. Beberapa soalan ditanya kepada anak guamnya.

"Encik Pale tahu bahawa memukul orang salah di sisi undang-undang. Jadi, kenapa Encik Pale memukulnya?"

Encik Pale membuat riak sinis bercampur geram sambil menjeling Is. "Dia memecah masuk ke dalam villa saya malam-malam buta! Takkan saya tak pukul? Siapa yang tak pukul pencuri?"

Hadirin mengangguk.

"Tapi, menurut video rakaman video oleh rakan pencuri Is dari luar, Encik Pale beria-ia memukul Is beramai-ramai dan dia tidak sempat mempertahankan diri. Benarkah?"

"Benar."

"Kenapa?"

"Dah terang-terangan dia ingin merompak atau membunuh kami. Kami hanya mempertahankan diri dengan apa sahaja yang kami ada. Kami tak ada senjata. Kami hanya ada kayu golf, kerusi kayu dan pasu bunga. Oh ya, cuba lihat di akhir video yang tuan katakan tadi, di penghujungnya si Is sudah mula mengeluarkan pisau lipat 20 sen untuk mencederakan bibik saya."

"Tapi Pale campak kawan saya jatuh dari balkoni!" Sampuk Is tiba-tiba. Mahkamah bising. Tuan hakim mengetuk-ngetuk tukul besarnya.

Semua orang duduk di tempat masing-masing. Kemudian, peguam pendakwa bangun dan mengeluarkan sebuah sebuah buku yang dibaluti plastik sebagai memelihara bahan bukti.

"Ini milik Encik Is kah?"

Is berpura-pura tidak ingat. "Tidak, bukan buku saya."

"Bukan? Jadi kenapa tertulis di sini, 'Hak Milik Is & Sekutu'?"

"Saya tidak tahu! Mungkin Is lain, err...Iskandar ke, Ismail ke, Islam ke!" Is membentak marah-marah.

"Lihatlah tuan-tuan, di dalam ini terdapat senarai nama barang dalam villa Pale yang ingin diambil dan dihapus oleh Is & Sekutu. Ya, mungkin Is lain... tetapi Is yang berada di dalam villa Pale dalam masa kejadian adalah kamu! Takdir yang indah bukan?" Peguam pendakwa berhujah lancar.

"Tuduhan tidak berasas, Yang Arif!" Bangkang peguambela yang tiba-tiba bangun dari tempat duduknya. Hakim membenarkan bangkangan. Peguam pendakwa dan Is sama-sama mengambil nafas panjang.

"Jadi, Is tidak ingat langsung tentang buku ini?" tanya peguam pendakwa kembali.

"Tidak," balas Is sambil disambut dengan bisik-bisik kutukan para hadirin.

"Baiklah," peguam mengangkat bahu. "Itu sahaja Yang Arif." Lalu beliau duduk kembali di tempatnya.

Semua diam sambil memerhatikan tuan hakim yang sedang membuat penelitian ke atas kertas di hadapannya. Setelah tiga minit, beliau mengumumkan kes ditangguh ke hari esok.

Semasa keluar dari dewan mahkamah, semua wartawan menyerbu Is dan Pale. Bertalu-talu soalan ditanya. Menyilau-nyilau mata dengan taluan cahaya kamera.

"Apa perasaan Pale?" "Apa tindakan Encik Peguam Pendakwa selepas ini?" "Benarkah buku itu milik Is?" "Apa kandungan buku itu?"

Kamera sempat merakam Pale senyum dengan wajah tenang, "Saya gembira kerana isteri, anak, adik dan abang saya mati syahid ditikam Is."

No comments: