Pages

Sunday 11 May 2008

Belajar membataskan angan


Garisan di atas menunjukkan garis kehidupan sebenar manusia, dari mula kewujudan di alam roh hinggalah ke alam akhirat. Daripada garis tersebut dapatlah kita beroleh gambaran kasar nisbah kehidupan di dunia ini dengan usia sebenar hayat kita.
Kita manusia, mempunyai banyak angan @ impian @ harapan dalam hidup. Ada yang bercita-cita nak jadi pelajar cemerlang, ada yang berharap untuk merubah nasib, ada yang berimpian mahu mengelilingi dunia, ada yang mahu membina empayar perniagaan, ada yang memasang angan mencari isteri yang cantik, dll . Kekadang kita terlalu ghairah berimpian dan mengangan-angankan harapan tersebut. Memang harapan itu suatu perkara yang baik, sebab tanpa impian ke mana tujunya kehidupan. Tapi apa yang perlu kita ingat, kita manusia hanya mampu mentafsirkan yang lepas, dan membaca yang sekarang, tapi yang di depan itu terlalu jauh untuk dibayangkan. Manalah tau selepas ini, waktu keluar dinner di kedai depan rumah, tiba-tiba dilanggar kereta…wallahua`lam.

Renungkan kisah angkasawan pertama negara. Di saat seluruh negara mendoakan keselamatan beliau yang berada jauh di angkasa lepas dalam misi yang penuh cabaran, tiba-tiba sahaja Allahyarham adiknya yang dekat dipanggil Tuhan dengan cara yang cukup mudah dan tidak disangka-sangka. Sedangkan beliau Alhamdulillah selamat pulang. Mungkin itu satu petunjuk dari Ilahi, memberi peringatan pada kita, umat manusia yang lagho.

Ramai antara kita yang suka beranggapan ‘Muda hanya sekali…so kita enjoy!’ …tapi, berapa kali kita akan mati? (= menunggu usia tua untuk bertaubat dan beribadah? Sabda Rasululullah Sollallahu`alayhiwasallam, mafhumnya:

‘Kaki seseorang itu tidak berganjak pada hari Kiamat, kecuali selepas ditanya tentang empat perkara : pertama; tentang usianya. Kedua; di mana diperjuangkan usia mudanya. Ketiga; di mana diperolehi dan di mana dibelanjakan hartanya. Dan keempat; ilmu yang berguna ke mana diamalkan.’

Terkakulah kita terketar-ketar tatkala ditanya tentang usia muda yang dihabiskan untuk berfoya-foya, mengejar kelazatan dunia,mengikut nafsu yang tak ada penghujungnya… Kita generasi muda, mempunyai kekuatan dan kreativiti untuk mengaplikasi dan mengembangkan syariat. Umpamanya remaja di united states yang berdakwah melalui lagu-lagu rap dan hip hop bagi menarik remaja seusia.Takkan nak ditunggu bila dah tua, dengan sedikit sisa tenaga yang ada baru nak kalut terbongkok-bongkok ke masjid mengumpul ilmu dan amal jariah..

Sesungguhnya, kehidupan ini sebenarnya teramat-amatlah sekejapdan dibandingkan dengan akhirat yang selama-lamanya. Inilah tempat ujian, hidup ini adalah satu peperiksaan. Bukalah mata dan mata hati anda. Sabda Rasululullah Sollallahu`alayhiwasallam;

‘Kehidupan di dunia adalah ibarat seorang pengembara yang singgah sebentar berehat di sepohon pokok.’

Lantas, ke mana nak dibawa segala impian dan harapan kita yang bertunjangkan duniawi itu? Nak dibawa empayar perniagaan dan harta ke dalam kubur? Nak dibentangkan kisah percutian seluruh dunia dan pengalaman shopping di Paris di hari perhitungan? Atau nak membawa isteri cantik itu sebagai teman di Padang Mahsyar?

Atas permintaan seorang sahabiah, sedikit pesanan buat teman-teman remaja, ingatan buat yang sedang mencari atau sudah berpunya. Dalam usia kita, mungkin cuma beberapa tahun dari melangkah ke alam ikatan yang sah. Mungkin ada yang akan membina ikatan dalam usia 23, 24, atau 25 yang tinggal beberapa tahun sahaja lagi. Tapi, ikatan dan hubungan itu bukan cuma untuk setahun dua, tapi mungkin 30,40,50 tahun jika panjang usia. Dan lebih penting lagi, ikatan itu bukan sahaja di dunia, tapi berpanjangan di akhirat yang tempohnya infiniti; yakni selama-lamanya. Tanyalah pada diri sendiri, adakah teman itu yang terbaik, yang akan dibawa bersama ke akhirat kelak. Buat rijal yang dihormati, tanya pada diri anda, adakah nisa` itu yang akan anda bawa tatkala perhitungan kelak, sewaktu semua dosa nisa` itu dipertanggungjawabkan ke atas anda. Relakah anda? Dan buat nisa` yang disayangi, mampukah rijal itu menyelamatkan anda di hari manusia hilang segala pergantungan, lantas membawa anda kepada keredhaanNya? Fikirkan sendiri…Sekadar renungan buat remaja.

Atas nama Allah, Rab yang Maha Agung, bataskanlah angan-angan dengan hakikat kehidupan yang sementara ini, dan dengan ingatan kematian yang bakal menjelma bila-bila masa saja. Sesungguhnya bagi seorang mukmin sejati, sandarkanlah sepenuh harapan ,impian, dan angan-angan semata-mata mencari keredhaanNya. Kerana itulah sebenarnya tujuan kita diwujudkan di dunia yang fana ini, yakni untuk beribadah kepadaNya;

Dan tidak aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaKu
Az-Zariyat (51:56)

Hidup yang sementara ini hanyalah pentas ujian semata-mata. Gunakan dengan sebaik-baiknya terutama usia muda yang ada. Moga dengan itu sempat kita menyiapkan bekal secukupnya untuk dibentangkan pada hari perhitungan kelak, insyaAllah. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian, sengsaralah kita dengan azab maha pedih tak terkata….

Pada hari ketika mereka melihat hari Kiamat itu (kerana susana hebatnya), mereka merasa seakan-akan hanya (sebentar sahaja) tinggal (di dunia) pada waktu sore atau pagi hari.
An-Nazi’at (79:46)

No comments: